Friday, February 5, 2010

14 Pesanan dan Wasiat Imam al-Syafie...


14 pesanan dan wasiat Imam al-Syafie rahimahullah mengenai prinsip beliau berhubung dengan persoalan bermazhab di dalam agama, antaranya:

PERTAMA:
قَلَ اْﻻِمَامُ الشَافِعِي: مَنْ قَلَّدَ مُعَيَّنًا فِى تَحْرِيْمِ شَيْءٍ اَوْ تَحْلِيْلِهِ وَقَدْ ثَبَتَ فِى الْحَدِيْثِ الْصَّحِيْحِ عَلى خِلاَفِهِ وَمَنِعْهُ التَّقْلِيْدِ عَنِ الْعَمَلِ بِالسُّنَّةِ فَقَدْ إِتَّخَذَ مَنْ قَلَّدَهُ رَبًّا مِنْ دُوْنِ اﷲ تَعَالَى.
“Berkata Imam al-Syafie: Sesiapa yang bertaklid (mengikut membuta tuli –pen) pada pengharaman sesuatu atau penghalalannya sedangkan telah nyata hadis sahih yang bertentangan dengannya dan menegah dari bertaklid kerana telah diperintahkan (diwajibkan) beramal dengan sunnah, maka dia telah mengambil orang yang ditaklidkan sebagai tuhan selain Allahu Ta’ala.”

KEDUA:
Imam al-Syafie rahimahullah juga menyatakan di dalam kitabnya, al-Umm (II/248):
وَإِذَا ثَبَتَ الْخَبَرُ عَنَ النَّبِيِّ؛ لَمْ يَجُزْتَرْكُهُ لِشَيْءٍ.
“Apabila telah sahih hadis dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam , maka tidak boleh untuk ditinggalkan kerana sebab apapun juga.”

KETIGA:
Imam Ibn Abi Hatim al-Razi rahimahullah telah meriwayatkan di dalam kitabnya, Adab Syafie wa Manaqibuhu (ms. 67-68 & 93), bahawa Imam al-Syafie rahimahullah pernah menyatakan:
كُلُّ مَا قُلْتُ: وَكَانَ عَنَ النَّبِيِّ خِلاَفَ قَوْلِيْ مِمَّا يَصِحُّ، فَحَدِيْثُ النَّبِيِّ أَلَى وَلاَ تُقَلِّدُوْنِيْ
“Setiap apa yang telah aku ucapkan, padahal telah datang dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih yang bertentangan dengan ucapanku itu, maka mengambil hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam itulah yang utama, dan janganlah kamu bertaklid kepadaku!.”

KEEMPAT:
Imam al-Hakim rahimahullah telah meriwayatkan di dalam Tarikh Naisabur bahawa Imam al-Syafie rahimahullah menyatakan kepada seseorang yang mempertentangkan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan perkataan para ulamak:
أَنَا أَقُوْلُ لَكَ قَالَ رَسُوْلِ اﷲ، وَأَنْتَ تَقُوْلُ: قَالَ عَطَاءُ، وَطَاعُوْسُ، وَمَنْصُوْرُ، وَإِبْرَاهِيْمُ، وَالْحَسَنُ، وَهَؤُلاَءِ لاَ يَرَوْنَ ذَلِكَ؛ هَلْ لأَِ حَدٍ مَعَ رَسُوْلِ اﷲِ حُجَّةٌ ؟!
“Aku (Imam al-Syafie) berkata kepadamu bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda demikian, tetapi kemudian kamu justeru berkata: Imam ‘Atha’ telah berkata demikian, Thawus berkata demikian, Manshur telah berkata demikian, dan Ibrahim (al-Nakha’i) telah berkata demikian, dan Hasan (al-Basri) telah berkata demikian. Padahal para Imam itu tidak membolehkan sama sekali untuk mempertentangkan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dengan perkataan mereka, apakah ada seorang manusia yang perkataannya dapat dipertentangkan dengan sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam?!.”

KELIMA:
Imam al-Syafie rahimahullah juga berkata:
أَجْمَعَ الْمُسْلِيْموْنَ عَلَى أَنَّ مَنِ اسْتَبَانَ لَهُ سُنَّةٌ عَنْ رَسُوْلِ اﷲ؛ لَمْ يَحِلَّ لَهُ أَنْ يَدَعَهَا لِقَوْلِ أَحَدٍ.
“Kaum muslimin telah ijmak (bersepakat) bahawa sesiapa sahaja yang telah jelas baginya sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam (yang sahih), maka haram baginya meninggalkan sunnah yang telah jelas di hadapannya itu hanya lantaran (terpengaruh dengan) pernyataan seseorang sahaja.”

KEENAM:
Imam Abu ‘Abdillah al-Hakim rahimahullah – penulis kitab al-Mustadrak – meriwayatkan dengan sanadnya yang sampai kepada Imam Rabi, bahawa dia berkata: Saya pernah mendengar Imam al-Syafie rahimahullah mengatakan:
مَا مِنْ أحَدٍ إِلاَّ وَتَذْهَبُ عَلَيْهِ سُنَّتةٌ لِرَسُوْلِ اﷲ، وَتَعْزبُ عَنْهُ فَمَهْمَا قُلْتُ مِنْ قَوْلٍ أَوْ أَصَّلْتُ مِنْ أَصْلٍ، فِيْهِ عَنْ رَسُوْلِ اﷲ خِلاَ فَ مَا قُلْتُ: فَا لْقَوْلُ مَا قَالَ رَسُوْلِ اﷲ وَهُوَ قَوْلِيْ.
“Tidak ada seorang pun melainkan ia pernah menyelisihi sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, dan menyimpang jauh darinya. Maka apa pun yang pernah aku nyatakan atau pokok (ushul) apa pun yang telah aku letakkan, padahal di sisi lain telah datang dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam keterangan yang bertentangan (bercanggah) dengan apa yang telah aku nyatakan itu, maka yang harus (wajib) diambil adalah apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, kerana pada hakikatnya apa yang menjadi ketetapan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itulah (juga) pendapatku (yang sebenarnya).”

KETUJUH:
Imam al-Baihaqi rahimahullah telah meriwayatkan di dalam kitabnya, Manaqib Syafie (1/473) bahawa Imam al-Syafie rahimahullah juga mengatakan kepada seorang muridnya Imam Rabi’ bin Sulaiman al-Muradi rahimahullah:
كُلُّ مَسْأَلَةٍ تَكَلَّمْتُ فِيْهَا صَحَّ الْخَبَرُ فِيْهَا عَنِ النَّبِيِّ عِنْدَ أَهْلِ النَّقْلِ بِخِلاَفِ مَاقُلْتُ، فَأَنَا رَاجِعٌ عَنْهَا فِيْ حَيَاتِيْ وَبَعْدَ مَوْتِيْ.
“Setiap masalah yang telah aku ucapkan, padahal telah sahih hadis dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menurut para ulamak hadis yang bertentangan dengan apa yang telah aku ucapkan itu, maka aku akan selalu ruju’ (menarik kembali) dari pendapatku yang bertentangan dengan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itu, baik saat aku masih hidup mahupun setelah aku mati.”

KELAPAN:
Imam al-Baihaqi rahimahullah telah meriwayatkan dalam kitab Manaqib Syafie (1/485), bahawa Imam al-Syafie rahimahullah pernah mengatakan:
مَنْ تَبِعْسُنَّةَ رَسُوْلِ اﷲ؛ وَافَقْتُهُ، وَمَنْ غَلَطَ، فَتَرَا كَهَا، خَالَفْتُهُ، صَاحِبِي الَّذِيْ أُفَارِقُهُ، اللاَّزِمُ الثَابِتُ عَنْ رَسُوْلِ اﷲ، وَإِنْ بَعُدَ، وَ الَّذِيْ أُفَارِقُ لَمْ يَقْبَل ْسُنَّةَ رَسُوْلِ اﷲ وَإِنْ قَرُبَ.
“Siapa sahaja yang mengikuti sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka aku akan menyetujuinya dan bersepakat dengannya, sedangkan orang yang meninggalkan sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka aku akan menyelisihinya dan tidak akan bersepakat dengannya. Adapun teman yang tidak aku tinggalkan adalah orang yang selalu berpegang dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih walaupun dia berada jauh dariku. Sedangkan mereka yang aku tinggalkan dan pisahkan dariku adalah orang tidak menerima sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, walaupun dia berada dekat denganku.”

KESEMBILAN:
Al-Hafiz al-Zahabi rahimahullah menyebutkan dalam kitabnya, Siyar A’lamin Nubala’ (X/35), bahawa Imam al-Syafie rahimahullah pernah berkata:
إِذَا صَحَّ الْحَدِيْثُ، فَهُوَا مَذْهَبِيْ، وَا ضْرِبُوا بِقَوْلِيْ الْحَا ئِطَ.
“Apabila telah sahih sebuah hadis, maka itulah mazhabku, dan buanglah perkataanku (yang menyelisihi hadis tersebut) ke arah tembok!.”

KESEPULUH:
Imam Ibn Abi Hatim al-Razi rahimahullah meriwayatkan di dalam kitabnya Adab Syafie, ms. 93-94, bahawa Imam Abu Tsaur rahimahullah – iaitu salah seorang murid kepada Imam al-Syafie – berkata: Saya pernah mendengar Imam al-Syafie rahiamhullah menyatakan:
كُلُّ حَدِيْثٍ عَنِ النَّبِيِّ، فَهُوَ قَوْلِيْ، وَإِنْ لَمْ تَسْمَعُوْهُ مِنِّيْ.
“Setiap hadis yang bersumberkan dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itulah pernyataanku (pendapatku) walaupun kamu sendiri tidak (pernah) mendengarnya daripadaku.”

KESEBELAS:
Imam al-Syafie rahimahullah juga menegaskan di dalam kitabnya, ms. 598-599:
وَأَمَّا أَنْ نُخَالِفُ حَدِيْثًاعَنْ رَّسُوْلِ اﷲ صَلَّى اﷲُعَلَيْهِ وَسلَّمْ ثَابِتًا عَنْهُ فَارْجُوْا أَنْ لاَ يُؤْ خَذُ ذَلِكَ عَلَيْنَا إِنْ شَاءَ اﷲ وَلَيْسَ ذَلِكَ لاَحَدٍ وَلَكِنْ قَدْ يَجْهَلُ الرَّجُلُ السُنَّةَ فَيَكُوْن لَه قَوْلٌ يُخَالِفُهَا لاَ أَنَّهُ عَمَدَ خِلاَفهَا، وَقَدْ يَغْفُلُ الْمَرْءُ وَيُخْطِىءُ فِى التَاْوِيْلِ.
“Adapun untuk kita menyalahi hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang nyata (jelas) dari baginda, maka saya mengharapkan dari kamu tidak akan berlaku seperti itu (yakni menyelisihi hadis atau sunnah Rasulullah) ke atas kita, insya’ Allah. Tidaklah terjadi seperti itu ke atas seseorang kecuali kerana kejahilan seseorang itu terhadap sunnah sehingga ia memperkatakan apa yang menyalahinya. Bukan lantaran ia sengaja menyalahinya, tetapi adakalanya berpunca kerana kebodohan seseorang itu sehingga melakukan kesalahan dalam mentakwilkan (mensyarahkan)nya.”

KEDUA BELAS:
Imam al-Syafie rahimahullah mengatakan dalam ar-Risalah, ms. 289 (no. 667):
وَهَكَذَا يَجِبُ عَلَى مَنْ سَمِعَ شَيْئاً مِنْ رَّسُوْلِ اﷲ صَلَّى اﷲُعَلَيْهِ وَسلَّمْ أَوْثَبَتَ لَهُ عَنْهُ أَنْ يَقُوْلَ بِمَا سَمِعَ حَتَّى يَْلمَ غَيْرَةُ.
“Dan begitulah, wajib hukumnya bagi sesiapa sahaja yang telah mendengar satu hadis dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam atau telah sahih satu hadis dari baginda, untuk berkata/berpendapat seperti yang terkandung dalam hadis tersebut, sehingga ia mendapati hadis yang lainnya (dari sunnah baginda).”

KETIGA BELAS:
Imam al-Syafie rahimahullah berkata dalam kitabnya, ar-Risalah, ms. 432 (no.1165-1166):
وَدَلاَلَةٌ عَلَى أَنَّهُ لَوْ مَضَ أَيْضًا عَمَلُ أَحَدٍ مِنَ اْلأَئِمَّةِ، ثُمَّ وَجَدَ خَبَرًا عَنِ النَّبِيَّ صَلَّى اﷲُعَلَيْهِ وَسلَّمْ يُخَالِفُ عَمَلَهُ: لَتَرَكَ عَمَلَهُ لِخَبَرِ رَسُوْلِ اﷲ صَلَّى اﷲُعَلَيْهِ وَسلَّمْ. وَدَلاَلَةٌ عَلَى أَنَّ حَدِيْثَ رَسُوْلِ اﷲِ يُثْبِتُ نَفْسَه،ُ لاَ بِعَمَلِ غَيْرِهِ بَعْدَهُ.
“(Hal ini) juga menjadi dalil bahawa bila telah diketahui suatu amalan dari seorang ulamak Islam, kemudian didapati satu hadis dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam yang bertentangan dengan apa yang telah diamalkan olehnya itu, maka (seandainya) ulamak itu (mengetahui hal itu, pastilah dia) akan meninggalkan amalannya (yang bertentangan dengan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam) demi menghormati hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Dan hal itu juga menjadi dalil bahawa hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itu berdiri sendiri (dan dapat menjadi hukum agama dengan sendirinya), dan ketetapan hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam itu tidaklah terikat dengan satupun pengamalan orang yang datang setelah baginda.”

KEEMPAT BELAS:
Imam al-Syafie rahimahullah mengatakan dalam kitabnya, ar-Risalah, ms. 360 (no. 905):
وَإِذَا ثَبَتَ عَنْ رَسُوْلِ اﷲ صَلَّى اﷲُعَلَيْهِ وَسلَّمْ، فَهُوَ اللاَّزِمُ لِجَمِيْعِ مَنْ عَرَفَهُ، لاَيُقَوِّيْهِ وَلاَ يُوْ هِنُهُ شَيْءٌ غَيْرُهُ، بَلِ الْفَرْضُ الَّذِيْ عَلَى النَّاسِ إِتِّبَاعُهُ، وَلَمْ يَجْعَلْ ِلأَ حَدٍ مَعَهُ أَمْرًا يُخَالِفُ أَمْرَهُ.
“Dan bila telah sabit (sahih) dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, maka itulah yang wajib untuk diikuti oleh setiap orang yang mendengarinya, dan hal itu tidak memerlukan penguat dari yang lainnya, dan hal itupun tidak dapat dibatalkan kerana sesuatu yang lainnya. Bahkan yang diwajibkan atas manusia adalah mengikuti baginda (ittiba’). Dan tidak diperbolehkan sama sekali menjadikan ketetapan seseorang manusia untuk membatalkan ketetapan baginda.”
Berdasarkan kepada wasiat-wasiat Imam al-Syafie rahimahullah di atas, maka dapatlah dikesimpulkan bahawa pegangan Imam al-Syafie rahimahullah yang sebenar dalam persoalan bermazhab adalah seperti berikut:

PERTAMA:
Imam al-Syafie rahimahullah mengecam sesiapa sahaja yang mempertentangkan perkataan atau hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih dengan perkataan seseorang tanpa mengira sesiapa pun jua. Malah, jauh dari itu beliau juga menyifatkan orang-orang seperti ini termasuk dalam golongan yang menjadikan orang yang ditaklidinya itu sebagai "tuhan" setanding Allah Subhanahu wa Ta’ala.

KEDUA:
Beliau amat melarang keras umat Islam daripada bertaklid (mengikut membuta tuli) kepada apa-apa jua pandangan yang beliau kemukakan tanpa mahu mengambil kira sama ada pendapat yang beliau utarakan itu adalah sesuatu yang selaras dengan petunjuk al-Sunnah atau hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih atau pun sebaliknya.

KETIGA:
Selain itu, Imam al-Syafie rahimahullah juga secara tegas menyatakan pendiriannya untuk “berlepas tangan” daripada tindakan mana-mana pihak yang taksub terhadap apa jua pandangannya yang jelas menyelisihi petunjuk al-Sunnah atau hadis Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Dengan perkataan lain, beliau sekali-kali tidak akan bertanggungjawab ke atas apa-apa jua fahaman dan amalan yang bertentangan dengan kehendak al-Qur'an dan al-Sunnah yang sahih, sekalipun kefahaman dan amalan tersebut adalah masyhur disandarkan ke atas nama mahupun mazhabnya.

KEEMPAT:
Terakhir sekali, Imam al-Syafie rahimahullah juga turut menyatakan tentang prinsipnya yang sentiasa bersikap terbuka dalam menerima kritikan ilmiah daripada mana-mana para ilmuan terhadap pandangan beliau yang dilihat tidak sejalan dengan petunjuk al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih. Pada waktu yang sama, beliau tanpa teragak-agak dan segan silu sentiasa bersiap sedia untuk menarik semula (ruju’) apa-apa kenyataan atau pandangan yang telah beliau kemukakan apabila telah terbukti ianya menyelisihi nas-nas yang sahih, sama ada ketika beliau masih hidup mahupun ketika sesudah beliau meninggal dunia.

-artikel dipetik dari buku Mohd Hairi Bin Nonchi (Siapakah Pengikut Imam al-Syafie Dan Mazhab Syafie Yang Sebenar?) Terbitan Jahabersa.. Dapatkan di pasaran segera..

No comments:

Post a Comment