Thursday, December 31, 2009

Azam Tahun Baru..


Alhamdulillah,kita sudah memasuki tahun baru. Niat pada awalnya mahu menyediakan satu entri khas bersempena dengan tahun baru kali agak tergendala. Maklumlah terlalu sibuk dengan aktiviti semasa cuti,menyebabkan niat untuk menulis sentiasa terbantut. Namun alhamdulliah,artikel ini siap juga ditulis. Sewaktu artikel ini ditulis,sudah 14 muharam,bermakna 14 hari sudah berlalu meninggalkan saya. Ya,14 hari.. Alhamdulillah,saya panjatkan syukur yang teramat sangat kerana saya masih diberi peluang oleh tuan empunya bumi ini untuk terus menumpang di sini. Bersyukur juga buat yang Esa kerana jika mengikut perkiraan tahun sudah hampir 23 tahun saya di sini. Berjalan,berlari dan terkadang merangkak dalam menempuhi arus dunia yang penuh pancaroba ini. Terkadang saya mengeluh,terkadang saya menangis,dan terkadang saya gembira..ini semua lumrah kehidupan. Saya akan teruskan hidup selagi ALLAH menetapkan saya patut berada di sini..Dan selagi itu jugalah saya akan terus memikul tanggugjawab sebagai khalifah dan hamba di atas muka bumi ini..

Apabila memasuki sahaja tahun baru,saya yakin soalan yang sentiasa disajikan kepada kita adalah “Apa azam tahun baru awak?”. Tidak keterlaluan jika saya katakan itu adalah antara topik yang paling popular dibincangkan dicorong-corong radio..
Namun,jika ditanya kepada saya ‘apa azam tahun baru awak?’ saya tiada jawapan yang spesifik. Kalau nak disenaraikan 2 keping kertas kajang pun tentu tak akan cukup.. Masalahnya,problemnya...adakah saya mampu melakukannya? Merealisasikan semua azam yang telah saya senaraikan berkajang-kajang itu?? jadi,saya berfikir,saya tidak perlu menetapkan azam yang berbagai-bagai...tetapi saya mahu meletakkan azam untuk melakukan semua azam yang telah saya tetapkan..itulah azam saya.. “Berazam untuk menunaikan azam...” mungkin kedengaran agak pelik,namun jika difikiran balik tak adalah pelik sangat... Jujurnya azam tahun lepas pun masih banyak yang belum tertunai..Jadi,tak perlu rasanya saya memerah otak untuk meletakkan azam baru pada tahun ini kerana kebanyakannya adalah azam yang sama...

Jauh disudut hati saya,saya mahukan yang terbaik untuk tahun ini. For sure,semua berazam ke arah itu bukan? Saya mahukan yang terbaik untuk diri saya sendiri,dalam pelajaran,dalam kerjaya, dalam keluarga,dan saya mahu menambahkah sebanyak mana ilmu dalam semua bidang,terutamanya dalam bidang agama selagi saya termampu...InsyaAllah.. hehe.. itulah azam saya... mungkin azam begini sudah biasa kita dengar,kan? tapi,sejauh mana kita mampu merealisasikannya.. Saya tak nak jadi salah seorang yang tergolong dalam pepatah ‘hangat-hangat taik ayam..’ hehe..tidak..tak nak,never.. That’s why untuk tahun ini azam saya adalah berazam untuk tunaikan azam yang lepas-lepas..InsyaALLAH...

Macam mana pula dengan sahabat-sahabat semua? Saya yakin azam anda semua lebih hebat dari saya bukan? Walau apa pun yang sahabat-sahabat semua azamkan pastikan ianya membawa kebaikan untuk diri anda,agama,keluarga,masyarakat,bangsa dan negara..dan jika ia menepati semua ciri-ciri di atas,sudah pasti doa saya sentiasa bersama anda semua... insyaALLAH..(00)..Selamat berjuang....

Tuesday, December 22, 2009

Cinta...


Entah mengapa selepas saya selesai membaca artikel dari seorang sahabat yang bertajuk “Harga Sebuah Cinta” membuatkan tangan saya begitu ringan untuk mencoretkan satu entri khas pada kali ini. Mungkin ada di kalangan sahabat-sahabat yang berkata ‘asyik-asyik cinta...cinta..cinta..tak ada entry lain ke?’ hehe,saya mohon maaf dari hujung rambut hingga ke hujung kaki ,jika ada di antara sahabat-sahabat yang tidak berapa setuju. Anda mempunyai 2 pilihan samada meneruskan pembacaan sehingga ayat yang terakhir atau terus tak payah baca.

Bercakap tentang cinta..Errmm,saya rasa setiap orang mengakui betapa pentingkan cinta di dalam kehidupan kita seharian,kan? Yelah,cinta tidak semestinya hanya kepada sesama manusia tetapi ia boleh dan seharusnya dilimpahkah buat yang ESA. Fikirkan,jika tidak kerana cinta mana mungkin seorang manusia itu akan menunaikan solat 5 waktu sehari semalam melainkan ia dilakukan kerana cinta kepada ALLAH dan islam.. Dan,jika tidak kerana cinta,mana mungkin seorang ibu sanggup berjaga malam semata-mata-mata untuk mendodoikan dan menyusukan si anak. Jika tidak kerana cinta,mana mungkin lahirnya zuriat penyambung warisan di dalam sesebuah keluarga. Jika tidak kerana cinta mana mungkin lahirkan para syahid dan syahidah dimedan perang melainkan ia dilakukan kerana cinta kepada islam. Jika tidak kerana cintakan ilmu, mana mungkin lahirnya golongan ahli ulamak dan para cerdik pandai di seluruh dunia dan yang pastinya jika tidak kerana cinta mana mungkin saya terdetik untuk menulis sesuatu untuk sahabat-sahabat yang sudi membaca sehingga habis.. Ini semua adalah kerana satu fitrah yang ALLAH ciptakan dalam diri setiap anak adam iaitu C.I.N.T.A

Ya,benar..Saya cintakan kamu semua..cinta atas dasar seorang anak adam dengan anak adam yang lain. Bukankah setiap manusia itu adalah bersaudara? Saya menulis untuk meluahkan apa sahaja yang terbuku difikiran dan dihati saya.Saya berharap biarlah tulisan ini sedikit sebanyak dapat memberi kesedaran dan membuktikan tanda cinta saya kepada sahabat-sahabat yang saya cintai semua.
Sahabat-sahabat,sejauh mana kita mencinta kebenaran? Sejauh mana kita mencuba untuk mencari kebenaran di dalam hidup kita dan sejauh mana kita berlaku adil dengan diri sendiri? Sejujurnya,dahulu saya seorang yang tidak begitu mengambil berat tentang kebenaran di dalam sesuatu perkara. Khasnya dalam bidang ibadat. Tidak keterlaluan jika saya katakan,dahulu saya tidak pernah sibuk untuk bertanya tetapi saya hanya sibuk mempertahankan. Saya bukanlah seorang yang berlapang dada apabila sesuatu perkara yang bertentangan dengan amalan saya dijelaskan kepada saya. Kerana apa? Kerana dikala itu saya tidak berlaku jujur dengan diri saya dan tidak mencintai kebenaran. Namun alhamdulillah,nampaknya ALLAH masih sayangkan saya apabila dia memberi saya peluang untuk berkenalan dengan satu manhaj yang cukup indah,. terkadang saya rasakan seperti bermimpi disiang hari. Tidak layak rasanya saya diketemukan dengan manhaj ini jika mahu dikira dengan apa yang telah saya perlekehkan dahulu.

Dahulu,sewaktu saya masih sibuk dengan aktiviti jamaah,mengumpul seberapa ahli jamaah selagi yang termampu, saya terlepas pandang dengan isu-isu yang saya rasakan cukup remeh. Contohnya isu bid’ah yang sehingga kini majority ‘ulamak’ mengatakan ia masih lagi isu remeh. Hanyala perkara furuq..
“Hanya perkara furuq..no need to talk about this..benda ini hanya akan memecah belahkan umah..”

Namun,mana mungkin perkara yang berkaitan dengan ibadah,akidah ini dikatakan furuq? Saya pernah terbaca dalam satu artikel tentang jawapan kepada golongan yang mendakwa masalah berkaitan bid’ah ini adalah perkara furuq,jawapannya cukup mudah.. Golongan pengemar bid’ah merasakan amalan yang dilakukan adalah diredhai dan tidak perlu dipertikaikan lagi kerana mereka menganggap dengan amalan-amalan bid’ah mereka,mereka pasti masuk syurga.. Dan mereka akan berterusan melakukan amalan bid’ah tersebut...Namun berbanding dengan pengemar maksiat,mereka tentunya akan sentiasa berfikir dan menginsafi setiap apa yang mereka lakukan dari sehari ke sehari.. Nah,Nampak bezanya bukan. Fikir-fikirkan,golongan mana yang lebih bahaya?

Diriwayatkan daripada 'Aisyah r.'anha,beliau berkata " Rasulullah bersabda
Sesiapa yang mengadakan-gadakan dalam urusan agama kita ini sesuatu yang bukan
daripadanya (Rasulullah) maka ia akan terolak" HR Bukhari dan Muslim..

Terkadang saya berasa cukup pelik,mengapa terdapat sebahagian golongan yang cerdik pandai dan mempunyai ilmu tentang islam tidak dapat menerima kebenaran ini. Mereka begitu sibuk mempertahankan atas alasan mazhab dan menghormati tok guru mereka. Dan apa yang lebih teruk,kami, yang mencintai kebenaran ini dituduh sebagai ‘WAHABI” hanya kerana kami tidak ‘sejoin’ dengan meraka. Golongan WAHABI dicanang didada-dada akhbar adalah golongan yang sesat dan menentang ahlu sunnah waljammah..Setahu saya,maksud ahlu sunnah waljamaah itu sendiri adalah mereka yang mencintai dan mengikuti sunnah nabi,dan setahu saya perkara-perkara bid’ah ini memang tersangat bertentangan dengan sunnah nabi.. Siapa sebenarnya yang menetang ahlu sunnah wal jammah? Tepuk dada tanya iman dengan hati yang mencintai kebenaran!!

Saya tahu,siapa saya untuk bercakap tentang soal ini. Saya bukanlah pelajar UIA,saya bukan ustazah, saya bukan pelajar Malaysia yang sedang menuntut di Mesir,Jordon,Syiria,saya juga bukan bekasan sekolah agama. Saya hanya seorang wanita yang serba kekurangan. Namun,adakah untuk bercakap tentang islam kita harus menjadi pelajar yang menuntut di Jordon? Mesir? Syiria? Adakah syarat untuk bercakap soal agama saya mesti bekasan pelajar sekolah agama? Jika saya tidak menepati ciri-ciri diatas, saya tidak boleh bercakap hata satu ayat pun tentang islam? Just keep quite dan ikut sahaja apa yang diajar oleh tok guru.. Tidak!! Tidak!! Sesekali tidak... islam tidak begitu.. Saya yakin islam untuk semua.Memang benar,saya tidak layak untuk membuat ceramah agama tentang perkara ini namun saya masih layak untuk bercakap jika saya banyak membaca bukan? Banyak membaca bermakna banyak ilmu bukan? Jadi semua orang boleh berbicara tentang agama dengan SYARAT dia haruslah mempunyai dalil yang kuat dan berilmu.. Saya bagi satu contoh yang sangat mudah.. Adakah syarat untuk ALLAH makbulkan doa adalah pabila kita berdoa di dalam bahasa ARAB? jika begitu,semua orang cina,melayu,india yang tidak pandai berbahasa ARAB tidak boleh berdoa tetapi hanya wajib mengaminkan apa sahaja yang dibaca oleh imam? Sedangkan hasrat setiap individu dengan individu yang lain tidak pernah sama. Bukalah minda...Islam tidak sempit..jangan sempitkan islam dengan pemikiran kolot anda semua..

Sahabat,saya mahu mengajak anda semua untuk berfikir. Mengapa Rasulullah SAW diutuskan? Saya masih ingat sewaktu ditingkatan 3 saya belajar tentang tujuan pengutusan Nabi Muhammad SAW kepada umat manusia. Di antaranya adalah untuk membawa umat manusia ke jalan yang benar dengan menunjukkan cara beribadat dengan CARA YANG BETUL. Cuba kita fikirkan,setiap agama percaya pada kepada kewujudan tuhan. Semua agama dalam alam ini yakin mereka ada tuhan untuk disembah namun masalahnya mereka tidak yakin untuk menyembah ALLAH dan tidak yakin dengan ajaran yang dibawa oleh RASULULLAH..Akibatnya mereka mencipta amalam agama yahng tersendiri. Mereka tidak mahu menerima ajaran yang Nabi Muhammad sampaikan. Sahabat,bagaimana dengan kita? Memang pada sudut akidah,kita percaya akan ALLAH..Kita adalah hamba yang diperintahkan untuk menyembah ALLAH.. Tapi bagaimana caranya? Siapa yang mahu mengajar kita cara untuk menyembah ALLAH.. Jawapannya adalah RASULULLAH SAW. Baginda diutusakan untuk mengajar kita cara beribadat yang betul. Percayalah sahabat,amalan yang dibawa oleh nabi sudah cukup. Tidak perlu ada penambahan atau pengurangan. Jika Nabi Muhammad SAW tidak melakukan sesuatu amalan tidak usahlah kita sibuk untuk melakukannya. Walaupun pada mata kasarnya amalan tersebut nampak baik namun jauhilahi. perkara tersebut kerana kita seolah-olah mencabar nabi. Adakah Islam itu tidak cukup lengkap? Adakah ajaran nabi itu tidak cukup sempurna sehingga kita perlu menyempurnakannya?
“Pada hari ini,telah Aku sempurnakan untuk kamu agamamu,dan telah Aku cukupkan kepadamu nikmatKu, dan telah Aku redhai islam sebagai agama bagimu.. Al-Mai’dah : 3

Islam itu telah lengkap,tak usahlah kita menyibukkan diri untuk menambahnya lagi. Ingatlah,Islam itu sesuai untuk semua zaman. Kita yang harus sesuaikan zaman dengan islam,bukan islam disesuaikan dengan zaman.

Mungkin ada diantara sahabat yang berpendapat kita harus mengambil buah pendapat ahli ulamak,tok guru. Jika kita mengabaikan pendapat mereka bermakna kita memghina dan tidak menghormati meraka. Tidak!! Kita menghormati mereka,namun harus diingat,mereka bukan maksum. Mereka juga boleh melakukan kesilapan tetapi Nabi Muhammad SAW adalah maksum. Baginda tidak mungkin melakukan kesilapan. Bagi saya,jika sesuatu ijtihad dari seorang ulamak itu adalah bersandarkan dari hadis Nabi saya dengan rela hati berlapang dada dan akan mengikutnya. Namun jika ia bukan dari Nabi tetapi hanya logic akal,kita wajib menolaknya.. Islam adalah agama yang suci,diturunkan oleh ALLAH untuk kita melalui malaikat JIBRIL.. Islam bukanlah agama yang bersandarkan kepada logik akal semata-mata. Benar,niat yang baik adalah kunci utama dalam semua amalan. Namun harus diingat niat yang baik haruslah berserta dengan cara yang betul,barulah ia akan diterima ALLAH..
“Sesungguhnya apabila amalan itu ikhlas tetapi tidak bertetapan dengan sunnah ia tidak akan diterima. Apabila itu betul dan mengikut sunnah tetapi tidak ikhlas, ia juga tidak akan diterima. Sehinggalah ia benar-benar dengan cara yang betul(mengikut sunnah) dan niat yang betul” penjelasan al-Fudhoil mengenai ayat dari surah al-Mulk : 2...

Sahabat-sahabat..,berlaku jujurlah dengan diri anda semua.. Lapangkan dada.. Tambahkan ilmu nescaya kebenaran akan menjadi milik anda...

“Andaiku syahid sebagai pejuang sunnah,jangan iringi pemergianku dengan air mata dan darah. Tapi tekadkanlah agar pengorbanan kami menjadi pewaris kepada pencinta kebenaran,agar terus mara di dalam membela agama ALLAH dari pendusta agama dan menjernihkan semula kemurnian sunnah Rasulullah”

Monday, December 7, 2009

Wahabi:Meluruskan Salah Faham

Hafiz Firdaus Abdullah (www.hafizfirdaus.com)

“Wahabi” bukan sahaja salah dari sudut gelaran, ia juga salah dari sudut beberapa tuduhan dan salah faham yang disandarkan kepadanya. Berikut dikemukakan beberapa salah faham tentang gerakan atau fahaman Wahabi, diikuti dengan penjelasan bagi meluruskannya.

Salah Faham Pertama: Wahabi Dan Kuasa Barat.

Salah faham pertama yang akan diluruskan ialah dakwaan bahawa gerakan Wahabi dimulai dan disokong oleh kuasa-kuasa Barat, khasnya Inggeris. Bagi meluruskan salah faham ini, saya merujuk kepada sumber sejarah kuasa-kuasa Barat itu sendiri kerana ia adalah “sumber dalaman” yang lebih tepat bagi menggambarkan apa yang dilakukan oleh kuasa-kuasa tersebut pada zaman itu.
Pertama, kuasa Inggeris memang wujud pada zaman itu, tetapi peranannya hanya bersifat komersil, iaitu menjaga keselamatan perairan teluk bagi laluan kapal-kapal perdagangannya dari India yang merupakan tanah jajahannya saat itu. [Sarah Searight – The British In The Middle East, dikemukakan oleh Jalal Abu al-Rub – Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab (Madinah Publishers & Distributors, Florida, 2003), ms. 76-77] Pihak Inggeris atau mana-mana kuasa Barat ketika itu tidak berminat untuk membantu mengembalikan umat Islam kepada agamanya yang tulen.
Kedua: Bukan sekadar tidak minat membantu, kuasa-kuasa Barat sebenarnya amat membenci gerakan Wahabi kerana ia sebenarnya membangkitkan umat Islam. Seorang ahli sejarah Perancis, Almosio Sidio, menulis:
“Apabila Inggeris dan Perancis mengetahui kesepakatan yang tercapai antara Muhammad bin Abdul Wahhab dan Muhammad ibn Sa’ud untuk mentajdidkan agama (Islam) dan ramai masyarakat Arab yang mengikutinya, mereka bimbang ini akan membangkitkan umat Islam dari kelekaan yang menyelubungi umat saat itu. Justeru mereka (Inggeris dan Perancis) bimbang Islam akan kembali kuat sebagaimana pada zaman Umar bin al-Khaththab.
Mereka khuatir peperangan atas nama agama akan kembali hidup, memberikan kemenangan kepada Islam dan kekalahan kepada kuasa-kuasa Eropah. Atas dasar inilah Inggeris dan Perancis meminta khilafah Turki Uthmaniyah untuk memerangi gerakan yang disebut-sebut sebagai “Wahabi” itu dan pihak khilafah telah mewakilkan urusan ini kepada gabenor Mesir, Muhammad Ali Pasha.” [The General History of The Arabs; dinukil dari Biography And Mission of Muhammad Ibn Abdul Wahhab, ms. 78]

Salah Faham Kedua: Wahabi dan Khilafah Islam

Masyhur dikatakan, gerakan Wahabi bertanggungjawab menjatuhkan khilafah Islam Turki Uthmaniyyah. Salah faham ini dapat dijawab dari dua sudut. Pertama, Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab tidak pernah menentang khilafah Turki Uthmaniyyah. Sikap beliau dalam persoalan ini adalah sebagaimana yang ditulisnya sendiri:
“Aku meyakini kewajipan mendengar serta mentaati para pemimpin kaum muslimin. Ia sama ada di kalangan pemimpin yang shalih mahu pun yang buruk akhlaknya. Ini selagi mana mereka tidak memerintahkan perkara kemaksiatan terhadap Allah. Ketaatan ini ditujukan terhadap sesiapa sahaja yang dilantik sebagai khalifah yang dipersetujui lantikannya oleh orang ramai yang meredhai kepimpinannya. Ini walaupun dia memperolehi kekuasaan khalifah melalui jalan paksaan, tetap menjadi suatu kewajipan mentaatinya dan dilarang melakukan penentangan terhadapnya. [Majmu’ah Muallafat al-Syaikh, Jil. 5, hlm. 11; dalam Membersihkan Salah Faham Terhadap Dakwah Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab oleh Abdul Aziz bin Muhammad al-Abd. Al-Lathif (Jahabersa, Johor Bahru, 2008), buku 3, ms. 159]
Kedua, sama ada wujud atau tidak gerakan Wahabi, khilafah Turki Uthmaniyyah pada zaman itu memang memiliki pelbagai kelemahan dan masalah, dalaman dan luaran. Sesiapa yang mengkaji sumber-sumber sejarah yang adil lagi jujur berkenaan kedudukan khilafah saat itu akan mengetahui ia dalam keadaan sedang jatuh dan akan jatuh.
Cuba fikirkan, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Lebih-lebih lagi Semenanjung Arab ketika itu lebih bersifat “No man’s land” di mana ia hanya dikuasai oleh kabilah-kabilah kecil secara berselerakan. Shalih Abud mengulas:
“Tiada bukti menunjukkan bahawa negeri Najd pernah tertakluk di bawah penguasaan atau autoriti khilafah Uthmaniyyah. Selain itu tidak pernah wujud mahu pun sebuah batalion atau markaz ketenteraan khilafah Uthmaniyyah di sana. Ini sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab).
Sebaliknya menerusi fakta kukuh berdasarkan kepada dokumen khilafah Turki Uthmaniyyah yang direkodkan oleh Yamen Ali Effendi (1018H/1609M) bertajuk “Qawaniyyin Aali Uthman Mudomin Daftar al-Diwan” ternyata khilafah Uthmaniyyah terbahagi kepada 32 buah negeri atau wilayah. 14 daripadanya merupakan negeri-negeri tanah Arab. Namun negeri Najd tidak termasuk di dalamnya.” [‘Aqidah al-Syeikh Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab wa Atharuha fi al-‘Alam al-Islami, Jil. 1, hlm. 27; dalam Membersihkan Salah Faham…, buku 3, ms. 162]
Abdullah al-Utsaimin menambah: “Negeri Najd tidak pernah berada di bawah penguasaan kerajaan Uthmaniyyah sebelum lahirnya pergerakan dakwah al-Syeikh al-Imam (Muhammad bin Abdul Wahhab). Selain itu, ia juga tidak pernah disatukan di bawah satu pemerintahan yang kuat dalam jangka masa yang lama. Ini sama ada ketika sebahagian dari wilayahnya berada di bawah penguasaan Bani Jabr atau pun Bani Khalid. Ia disebabkan suasana peperangan yang silih berganti antara wilayah mahu pun kabilah negeri Najd yang terdiri dari pelbagai jenis puak sehingga agak sukar untuk disatukan keseluruhannya.” [Muhammad bin ‘Abd. al-Wahhab Hayatuhu wa Fikruhu, hlm. 11; dalam Membersihkan Salah Faham…, buku 3, ms. 162]
Sekali lagi saya bertanya kepada para pembaca yang budiman sekalian, dengan kejatuhan khilafah, siapakah yang akan mengambil alih menjaga dua bandar suci umat Islam: Mekah dan Madinah? Diingatkan bahawa sekalipun kuasa-kuasa Barat wujud di kawasan itu atas tujuan komersil, tidak dapat dinafikan bahawa mereka juga tentu memiliki hasrat untuk mengambil alih kota Mekah dan Madinah.
Nah! Dengan kewujudan gerakan Wahabi yang dapat menyatukan umat Islam Semenanjung Arab, kedua-dua bandar suci itu tetap berada di tangan umat Islam. Jika tidak, nescaya Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid an-Nabawi di Madinah akan menerima nasib yang sama seperti Masjid al-Aqsa di Palestin. Fikir-fikirkanlah!

Salah Faham Ketiga: Wahabi dan Peperangan.

Beberapa orang pernah menyatakan kepada saya bahawa syaikh mereka memiliki bukti yang lengkap dengan sanad bahawa gerakan Wahabi melakukan peperangan dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Arab semata-mata untuk mengembangkan ajaran mereka.
Tuduhan ini tidak perlu diberi perhatian kerana sanad tersebut, jika ia benar wujud, tidak memiliki apa-apa nilai. Ini kerana orang-orang yang duduk dalam rantaian sanad tersebut, biografi mereka tidak tercatit dalam mana-mana kitab al-Jarh wa al-Ta’dil. Sekadar mengetahui nama dan status mereka sebagai “orang agamawan” adalah tidak memadai. Dalam ilmu hadis, mereka termasuk dalam kategori para perawi yang majhul, maka dengan itu sanad tersebut adalah dha’if. Sanad sebegini tidak boleh dijadikan hujah dalam membuat tuduhan atau menjadi bukti dalam kes jenayah.
Adapun peperangan yang berlaku di Semenanjung Arab, kedua-dua sumber sejarah ada mencatitkannya. Sumber yang berpihak kepada dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh golongan yang tidak setuju dengan gerakan beliau. Sumber yang berpihak kepada golongan yang tidak setuju dengan dakwah Muhammad bin Abdul Wahhab berkata ia dimulakan oleh gerakan beliau. Siapakah yang benar dan sebesar manakah skala peperangan itu – tiada siapa yang mengetahuinya. Apa yang pasti, tidak wujud kesan-kesan peninggalan sejarah yang dapat dijadikan bukti adanya peperangan yang diceritakan dalam kitab-kitab sejarah itu. Berbeza dengan peperangan yang belaku di belahan dunia yang lain, ia dapat dibuktikan melalui kesan-kesan peninggalan sejarah.

Salah Faham Keempat: Wahabi dan Tuhan.

Fahaman Wahabi sering dikaitkan dengan kepercayaan kononnya Tuhan memiliki jasmani dan anggota. Ini berlaku kerana fahaman Wahabi yang enggan mentakwilkan sifat-sifat Allah seperti muka, tangan dan kaki yang tertera dalam al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Ini jelas adalah satu salah faham kerana fahaman Wahabi beriman kepada sifat-sifat Allah serta memahami maksudnya manakala bentuk atau tatacara sifat itu diserahkan kepada Allah, tanpa sebarang penyerupaan dengan mana-mana sifat makhluk-Nya.Ini adalah juga fahaman Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah sebagaimana yang diterangkan oleh al-Tirmizi (279H): “Dan sungguh telah berkata tidak seorang daripada ahli ilmu tentang hadis ini dan apa yang seumpamanya daripada riwayat-riwayat tentang al-Sifat dan (tentang) Penurunan Rabb (Allah) Tabaraka wa Ta’ala pada setiap malam ke langit dunia. Mereka berkata riwayat-riwayat seperti ini adalah benar (thabit) dan berimanlah kepada ia dan jangan dibayangkan (seperti apa) dan jangan ditanya bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat). Inilah yang telah diriwayatkan daripada Malik (bin Anas) dan Sufyan bin ‘Uyaynah dan ‘Abdullah bin Mubarak, sesungguhnya mereka telah berkata tentang hadis-hadis seperti ini (yang berkaitan nas-nas al-Sifat): Terimalah ia (berimanlah kepadanya) tanpa mempersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacara (kaifiat). Dan demikianlah juga pendapat ahli ilmu Ahl al-Sunnah wa al-Jama‘ah.Manakala golongan al-Jahmiyyah, mereka mengingkari riwayat-riwayat seperti ini (nas-nas al-Sifat) sambil berkata ini adalah tasybih (penyerupaan dengan makhluk). Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla telah menyebut hal ini tidak sekali dalam kitab-Nya (al-Qur’an) seperti Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan akan tetapi golongan al-Jahmiyyah telah mentakwilkan ayat-ayat ini dan menafsirkannya kepada sesuatu yang berlainan daripada tafsiran ahli ilmu. Mereka (al-Jahmiyyah) berkata sesungguhnya Allah tidak mencipta (Nabi) Adam (‘alaihi salam) dengan Tangan-Nya. Mereka berkata maksud Tangan-Nya di sini adalah kekuatan-Nya.
Padahal berkata Ishaq bin Ibrahim: “Sesungguhnya yang dianggap tasybih (penyerupaan dengan makhluk) hanyalah apabila seseorang berkata Tangan sepertimana tangan (makhluk) atau seumpama tangan (makhluk), Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk). Justeru apabila seseorang berkata Pendengaran sepertimana pendengaran (makhluk) atau seumpama pendengaran (makhluk) maka barulah ia dianggap sebagai penyerupaan.
Namun apabila seseorang berkata sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tangan dan Pendengaran dan Penglihatan tanpa dipersoalkan bentuk, ciri-ciri dan tatacaranya (kaifiat) dan tidak dikatakan seumpama pendengaran (makhluk) dan tidak juga dikatakan sepertimana pendengaran (makhluk) maka ini tidak dianggap sebagai penyerupaan. Malah ia adalah sepertimana firman Allah Ta’ala di dalam kitab-Nya (al-Qur’an): Tidak ada sesuatu pun yang serupa dengan Dia dan Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. [al-Syura 42:11]” [Sunan al-Tirmizi (tahqiq: Ahmad Syakir dan rakan-rakan; Dar al-Hadith, Kaherah 1999), jld. 3, ms. 33.]

Salah Faham Kelima: Wahabi dan Mazhab.

Fahaman Wahabi kononnya dianggap tidak mengikuti mana-mana mazhab fiqh yang empat. Sekali lagi ini adalah satu salah faham. Orang yang dituduh sebagai Wahabi, mereka masih mengikuti mazhab di tempat masing-masing. Hanya dalam beberapa persoalan terpencil, apabila didapati hujah mazhab lain adalah lebih kuat kerana lebih mendekati dalil al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih, maka pendapat mazhab tersebut diikuti dalam persoalan tersebut. Oleh itu orang yang dituduh sebagai Wahabi di Malaysia masih mengikuti Mazhab al-Syafi’e, orang yang dituduh sebagai Wahabi di India-Pakistan masih mengikuti Mazhab Hanafi, orang yang dituduh sebagai Wahabi di Timur Tengah masih mengikuti Mazhab Hanbali dan orang yang dituduh sebagai Wahabi di Afrika Utara masih mengikuti Mazhab Maliki. Hanya dalam beberapa persoalan terpencil mereka mengikut mazhab yang lain kerana faktor kekuatan dalil dan hujah.
Ini sebenarnya adalah sikap yang benar sebagaimana yang diterangkan oleh Ibn Rajab al-Hanbali (795H): “Berdasarkan keterangan-keterangan para imam mazhab, adalah menjadi kewajipan apabila seseorang itu menemui suatu perintah daripada Rasulullah s.a.w. atau mengetahuinya, untuk menerangkannya kepada sekian umat, menasihatkan mereka dengan penuh keikhlasan dan memerintahkan mereka untuk mengikutinya walau pun jika ia bertentangan dengan pendapat para imam mazhab atau seseorang lain yang terkemuka. Ini adalah kerana kedudukan Rasulullah s.a.w. adalah yang paling hak untuk dihormati dan ditaati, melebihi dan mengatasi mana-mana pendapat orang atau tokoh lain yang mungkin atas sebab-sebab yang tidak disengajai telah bertentangan dengan perintah Rasulullah. Oleh kerana inilah kita dapati para sahabat dan generasi selepas mereka membantah sesiapa sahaja yang didapati melakukan sesuatu yang bertentangan dengan sunnah yang sahih. Adakalanya bantahan ini mereka lakukan dengan amat keras, bukan disebabkan perasaan benci kerana para sahabat itu sememangnya amat menyayangi dan menghormati mereka, akan tetapi Rasulullah itu lebih mereka sayangi dan perintahnya lebih tinggi kedudukannya berbanding perintah mana-mana makhluk lain.
Justeru itu apabila terdapat perselisihan antara ajaran Nabi dan ajaran manusia, ajaran Nabi-lah yang lebih berhak ditunaikan dan ditaati. Ini tidaklah bermaksud sebagai menghina kedudukan imam ikutan seseorang itu kerana secara pasti dia akan diampuni atas ketidak-sengajaannya dan silapnya, bahkan si imam tersebut akan lebih rela jika ajarannya itu diketepikan apabila didapati bertentangan dengan ajaran Nabi s.a.w. yang sahih.” [Dikemukakan oleh Salih al-Fulani dalam Iqaz al-Himan, ms. 93; dinukil dari Sifat Solat al-Nabi oleh al-Albani (Maktabah al-Ma‘arif, Riyadh, 1996), ms. 54-55]

Salah Faham Keenam: Wahabi dan Kekerasan.

Wahabi sering dihubungkan dengan kekerasan. Benarkah demikian? Realitinya, pihak yang menuduh itulah yang sebenarnya bersikap keras. Di sana sini mereka menuduh sekian-sekian individu dan kumpulan sebagai Wahabi yang menyesatkan. Adakalanya tuduhan ini diterjemahkan dalam bentuk fizikal, seperti mengharamkan penerbitan, menghalang kuliah-kuliah agama dan menangkap para tokoh yang mereka tuduh sebagai Wahabi. Tindakan-tindakan tersebut berlaku tanpa tersembunyi sehingga diketahui dalam media-media perdana.Adapun di kalangan orang yang dituduh sebagai Wahabi, mungkin ada yang bersikap keras. Namun perlu juga ditinjau dari sudut yang lain, kerana istilah “keras” itu sendiri boleh bersifat relatif. Keberanian, ketegasan, kesungguhan adalah sifat yang terpuji yang boleh ditafsirkan sebagai “kekerasan” oleh pihak yang sukar menerima kenyataan. Demikian juga, menyatakan yang haq di atas yang batil boleh juga ditafsirkan sebagai kekerasan oleh pihak yang sekian lama telah selesa dengan kebatilan tersebut.Oleh itu kekerasan boleh disandarkan kepada salah satu dari dua pihak, yang dituduh atau yang menuduh.

Saturday, December 5, 2009

UMI...IBU...MAMA....MAK....


Alhamdulillah,akhirnya saya selamat menghabiskan sesi komuniti selama 5 minggu seperti yang telah jadualkan. Dalam tempoh lima minggu ini terlalu banyak benda yang saya pelajari. Terlalu banyak perkara yang boleh mengentarkan hati saya. Dan yang pastinya 5 minggu ini berjaya membangkitkan sedikit sebanyak rasa keinsafan pada diri saya. Dan saya benar-benar berharap agar apa sahaja perasaan yang terdetik di hati ini biarlah ia selamanya memberi keinsafan kepada saya. Saya tidak ingin menjadi seorang yang mudah lupa. Kata-kata Tun Mahathir tentang melayu mudah lupa itu biarlah bukan untuk saya. Saya tidak mahu tergolong di dalam golongan itu.

Sepanjang 5 minggu menjalani sesi komuniti banyak sangat pengalaman yang saya dapat. Ada yang manis,pahit,masam,kelat,payau dan seangkatan dengannya. Dan kenangan itu adalah kenangan terindah buat saya. Tempoh 5 mingu ini tidak cukup rasanya untuk saya.Jika diberi peluang saya mahu lebih banyak masa lagi untuk menjalani sesi komuniti. Di antara aktiviti yang tidak mungkin saya lupakan sampai bila-bila adalah lawatan ke rumah wargatua . Ya ALLAH,entah mengapa hati saya cukup tersentuh melihat telatah atok dan nenek yang begitu girang menyambut kedatangan kami.

Memang dari awal lagi kami telah diberi taklimat oleh pengajar supaya jangan terlalu emosi apabila tiba di semua tempat lawatan yang akan kami pergi. Sebagai jururawat kami harus professional. Kami belajar untuk empati tetapi bukan simpati. Alhamdulillah,sepajang sesi lawatan lain,saya berjaya mengawal perasaan. Saya cukup kuat untuk berdepan dengan kanak-kanak terencat akal,anak-anak yatim orang kurang upaya dan banyak lagi,namun sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke rumah wargatua itu,perasaan sebak sudah mula melanda hati saya.

Perasaan saya lebih dirundum pilu apabila ada seorang nenek yang lebih kurang sebaya dengan nenek saya menangis sebaik sahaja kami menuju ke arah beliau. Dia terlalu hiba melihat kedatangan kami. Di sini,saya dan rakan-rakan tewas dengan air mata nenek tersebut. Air mata kami turut mengalir bersama air mata Tok Su. Di tambah lagi apabila mendengar cerita dari Tok Su menyebabkan kami bertambah sedih. Namun,dalam masa yang sama perasaan geram,marah dan pelik menjadi satu. Selama ini saya hanya menonton di televisyen sahaja kisah tentang pengabaian anak terhadap ibu bapa mereka. Namun,akhirnya saya dapat menyelami sendiri kisah tersebut di alam realiti.

Benarlah ada pepatah mengatakan,ibu boleh menjaga 10 orang anak tetapi 10 orang anak belum tentu belum boleh menjaga seorang ibu. Kisah Tok Su sama seperti kisah yang kita selalu lihat di kaca-kaca tv. Tapi yang lebih haru,Tok Su didera oleh anak-anaknya sendiri. Ya ALLAH,mengucap panjang saya ketika mendengarnya. Tergamak seorang anak mendera seorang ibu? Apa dah jadi dengan dunia sekarang. Walaupun mempunyai 4 orang cahaya mata namun anak-anak Tok Su terlalu sibuk mengejar dunia sehingga mereka lupa untuk mencari akhirat. Buktinya,ibu dibiarkan sahaja terdampar di rumah warga tua dengan alasan Tok Su lebih elok tinggal di sana kerana mendapat pemerhatian yang lebih rapi. Betul ke? Adakah itu jalan penyelesaiannya? Tepuk dada tanya iman…

“Tok Su gembira tinggal kat sini?” Tanya saya. Tok Su tersenyum sambil membuang pandangan ke luar tingkap..
“Gembira ke tak gembira memang Tok Su kena juga tinggal kat sini…”

Itulah antara serba sedikit kisah yang boleh saya coretkan. Kita tolak cerita Tok Su ke tepi dengan doa semoga kebahagiaan akan menjadi miliknya nanti. Mari kita muhasibah!! Apa yang akan kita lakukan dalam 10 tahun akan datang? Apabila masing-masing sudah bersuami? Beristeri? Mempunyai anak? Kerjaya yang pasti menuntut kita untuk sentiasa mengejar masa. Kerjaya yang menyebabkan 24 jam sehari tidak pernah cukup. Di mana kita tatkala itu? Adakah kita juga akan menjadi seperti anak-anak Tok Su… Ya ALLAH..jauh disudut hati saya,saya tidak akan rela diri saya menjadi seperti itu. Tidak sesekali.. Firman ALLAH dalam surah Luqman ayat 14 akan sentiasa tersemat kemas difikiran saya.

“Dan kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dalam keadaan lemah dan bertambah-tambah dan menyapihnya(menyusu) dalam usia 2 tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembali mu” 31:14.

Wahai manusia tidak cukupkah dengan peringatan dari Allah itu?

Tidak sabar rasanya saya mahu menemui umi tersayang. Puan Kesmawati Ahmad Zulkifli. Sungguh,dia adalah umi yang terbaik buat kami adik beradik. Tiada umi lain yang dapat menandingi kehebatannya. She is my umi and she is also my good friend. Bahkan,adakalanya dia melayan kami seperti rakannya. Saya tidak akan lupa setiap budi yang dia taburkan untuk kami adik baradik. Saya tidak mungkin akan lupakan bagaimana reaksi wajah dan suaranya setiap kali dia mendengar kami di dalam kesusahan. Ya ALLAH,tidak ada kata yang dapat saya ungkaikan betapa bersyukur dan bertuahnya saya memilikiu umi seperti umi.

InsyaALLAH,selagi nyawa di kandung badan,selagi saya masih sihat,saya akan cuba sedaya upaya untuk membahagiakan umi saya meskipun suatu hari nanti saya pasti akan mempunyai umi yang kedua. InsyaALLAH,di kala itu,saya akan cuba untuk membahagiakan kedua-dua ‘umi ‘saya..I will try my best with the ALLAH blessing….. insyALLAH….