Monday, August 10, 2009

“Bersederhanalah Dalam Beragama”




Disediakan oleh : Mohd Hairi Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial, UMS)

Dalam sebuah riwayat daripada Ibn 'Abbas r.a, katanya: Pada pagi hari 'Aqabah (musim haji) Rasulullah bersabda kepadaku ketika baginda berada di atas kenderaannya: 'Kutipkan untukku (batu-batu kecil untuk melontar jamrah al-'Aqabah)'. Aku pun mengutip batu-batu kecil untuk baginda yang kesemuanya sebesar biji kacang. Apabila aku meletakkannya ke dalam tangan baginda, baginda pun bersabda: ' (ya!) sebesar ini! Jauhilah kamu melampau dalam agama (al-Ghulu) kerana sesungguhnya al-Ghulu telah membinasakan mereka yang sebelum kamu

Maksud al-Ghulu.

Perkataan al-ghulu dalam bahasa arab bermaksud al-‘rtifa’ wa mujaawazatul qadr fi kulli syaik, iaitu melebihi kadar dalam setiap sesuatu. Adapun ghulu dalam beragama seperti kata Ibnu Athir (w.606H) bermaksud, at-Tsyaddud fiihi wa mujaawazatul had, iaitu terlalu keras berpegang dengannya dan melampaui batas. Justeru, sesuai dengan konsep kesederhanaan (al-wasathiyyah) yang dianjurkan oleh Islam, maka Islam menggalakkan umatnya agar mereka sentiasa berpegang teguh dengan ajarannya, disamping isiqamah dalam mengamali sikap bersederhana ketika melaksanakan perintah suruhannya serta tidak terlalu melampau sehingga melebihi batasan yang digariskan oleh al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Termasuk dalam perbuatan melampaui batasan dalam beragama adalah melakukan sesuatu amal ibadah yang tidak bertsabitan dengan petunjuk al-Qur’anul Karim dan al-sunnah Rasulullah s.a.w.

Al-Ghulu Juga Pernah Berlaku Pada Zaman Nabi s.a.w

Al-Ghulu dalam bergama bukanlah suatu yang baru, malah sejak baginda s.a.w masih hidup lagi perkara ini telah pun terjadi. Keadaan ini dapat dilihat menerusi sebuah hadis di mana pada suatu ketika Rasulullah s.a.w mendengar ada di kalangan para sahabat yang cuba beribadah melebihi apa yang telah diajar dan dicontohkan oleh baginda s.a.w. Dalam riwayat tersebut dikatakan bahawa beberapa orang sahabat telah datang kepada isteri Rasulullah s.a.w untuk bertanya berkenaan amalan baginda s.a.w. Lalu kerana ingin beribadah melebihi baginda, sebahagian daripada mereka berazam untuk tidak bernikah, sebahagian lagi enggan memakan daging dan sebahagian lagi enggan menyentuh tilam (tidur). Mendengar azam sedemikian, maka Rasulullah s.a.w keluar, memuji Allah dan bersabda yang bermaksud:

“Apa terjadi ? kenapa orang-orang ini berkata sedemikian dan sedemikian? Padahal aku bersolat dan juga tidur, aku berpuasa dan juga berbuka dan aku juga mengahwini wanita. Maka sesiapa yang berpaling daripda sunnahku, maka dia bukan daripada (umat) aku!”

Hadis yang tertera di atas memberi beberapa pengajaran yang amat bernilai kepada kita, antaranya :

i) Hadis tersebut telah membatalkan alasan yang lazim digunakan oleh ahli bid’ah bagi menjustifikasikan amalan-amalan mereka yang melampaui batas, di mana mereka sering beralasan “Apa salahnya, walaupun Nabi tak pernah buat tetapi Nabi tak kata apa yang kami buat ini dilarang!”. Jika diperhatikan, orang-orang yang bertanya kepada isteri Rasulullah s.a.w juga ingin “menambah” amal dan mereka menganggapnya sebagai sesuatu yang baik, apalagi Nabi s.a.w tidak pernah melarangnya. Walau bagaimanapun, keinginan mereka itu telah mendapat penentangan daripada baginda, malah lebih daripada itu baginda s.a.w mengkategorikan perbuatan seperti itu boleh menyebabkan seseorang itu termasuk dalam kalangan “..bukan daripada (umat) aku! ..”

ii) Hadis di atas juga menunjukkan sikap yang benar dalam mengikuti sunnah Rasulullah ialah melakukan apa yang dilakukan oleh baginda (sunnah fi’liyyah) dan meninggalkan apa-apa amalan yang tidak pernah dilakukan (ditinggalkan) oleh baginda s.a.w (sunnah tarkiyyah).
iii) Hadis tersebut juga membatalkan kaedah yang dibuat-buat oleh para pencinta bid’ah kononnya “Apa yang didiamkan oleh Rasulullah s.a.w tidak bererti dilarang”. Sedangkan kaedah yang benar adalah “Setiap ibadah adalah dilarang melainkan terdapat pentunjuk daripada al-Qur’an dan al-Sunnah (yang sahih) yang membolehkannya, manakala setiap urusan dunia adalah dibolehkan melainkan terdapat petunjuk daripada al-Qur’an dan al-Sunnah yang melarangnya”

Salah Faham Terhadap Konsep Penerimaan Amal Di Sisi Islam Melahirkan Sikap al-Ghulu

Dalam kalangan sebahagian umat Islam, mereka amat yakin dan percaya bahawa sesuatu amalan itu tetap dikira sah dan diterima di sisi Allah hanya dengan berdasarkan kepada niat yang ikhlas dan tujuan yang baik semata-mata. Lantaran dari salah faham ini, maka tidak hairanlah apabila lahirnya pelbagai bentuk amalan bid’ah dalam agama yang melampaui batasan petunjuk al-Sunnah, serta perlecehan terhadap tuntutan agama untuk mengikuti tunjuk ajar atau kaedah baginda s.a.w. Sebenarnya, inilah adalah tanggapan yang salah. Apa yang benar, menurut ajaran Islam, sesuatu amalan itu hanyalah dianggap sah dan diterima disisi Allah hanya apabila ia memenuhi dua syarat [1] ikhlas kerana mengharapkan kerdhaan Allah semata-mata dan [2] Ia dilakukan dengan cara yang bersesuaian dengan petunjuk al-sunnah Rasulullah s.a.w. Dalam hal ini Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut: "Seorang muslim dalam ibadahnya mengikut batasan yang ditentukan untuknya. Tidak mencukupi hanya sekadar bertujuan (ikhlas) untuk keredhaan Allah semata, bahkan hendaklah ibadah itu dilakukan dalam bentuk yang disyariatkan Allah, dengan kaifiyyat (cara) yang diredhai-Nya. Janganlah ibadah seorang muslim itu ialah apa yang yang direka oleh manusia berdasarkan hawa nafsu dan sangkaan."

Selain itu, Dr. ‘Abd al-Karim Zaidan pernah berpesan dengan katanya: "Amalan soleh ialah apa yang sahih dan ikhlas kepada Allah. Apa yang sahih itu ialah yang menepati syarak, maka membuat bid’ah dalam agama dengan menambah atau mengurangkannya adalah sesuatu yang tidak dibolehkan dan tiada pahala bagi pengamalnya sekalipun dengan niat beribadah kepada Allah. Bid’ah itu lebih buruk daripada maksiat. Ini kerana bid’ah itu mengubah agama serta menghukum dan mentohmah syarak sebagai cacat, berhajatkan kepada penyempurnaan, pengurangan dan mengubahan. Ini adalah perkara yang sangat besar yang tidak boleh kita beriktikad atau beramal dengannya. Untuk itu al-Rasul s.a.w memberi amaran mengenai bid’ah, sabdanya: (terjemahan) "Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan dalam agama, kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah, dan setiap yang bid’ah di dalam neraka". Maka segala kebaikan apa yang bawa oleh syarak dan berpada dengannya."

Syaikh al-Islam ibn Taimiyah (w.728H) berkata: “Sesungguhnya agama Allah ini adalah pertengahan antara yang melampaui dan yang meninggalkannya. Allah tidak memerintahkan hamba-hamba-Nya sesuatu melainkan syaitan akan mengganggunya dengan dua cara. Syaitan tidak kisah (dengan cara) yang mana satu dia berjaya, iaitu sama ada secara ifrat (melampaui batasan yang sepatutnya dalam bergama) atau tafrit (cuai terhadap agama). Justeru, Islam adalah agama Allah yang tidak boleh diambil ajarannya daripada sesiapapun selain-Nya. Maka syaitan mengganggu kebanyakan mereka yang mengaku mengikut ajaran Islam. Sehingga syaitan berjaya mengeluarkan mereka daripada syariat. Bahkan syaitan telah berjaya mengeluarkan (menyesatkan) banyak puak umat ini (umat Islam) yang terdiri daripada mereka yang kuat beribadah dan warak. Sehingga menjadikan mereka terkeluar daripada agama sepertimana melurunya anak panah daripada busurnya”

Demikianlah betapa kejinya sikap al-Ghulu dalam beragama. Justeru, hendaklah kita berwaspada agar tidak terjerat dalam perangkap syaitan sehingga melampaui batas dalam melaksanakan perintah suruhan agama. Sikap bersederhana dalam melaksanakan apa juga perintah Allah s.w.t dan Rasul-Nya hendaklah disemai dalam diri, disamping memastikan setiap amalan yang kita lakukan itu benar-benar termasuk dalam amalan-amalan yang tsabit dari petunjuk al-Quran dan al-Sunnah yang sahih. Sebagai penutup risalah ini, renungilah kata-kata ‘Abd Allah bin Mas’ud r.a berikut: "Sederhana dalam sesuatu (amalan yang menepati) sunnah lebih baik daripada bersungguh-sungguh dalam sesuatu bid’ah."

No comments:

Post a Comment