Friday, July 30, 2010

Antara artikel terbaik yang pernah saya baca...


Disiarkan pada Jul 22, 2010 dalam kategori Dakwah (www.drmaza.com)
Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.

Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi. Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w

Mereka itu selalu gambar Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kesian, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah:

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)

HINA DAN MULIA

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’ adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya.

Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.


APAKAH SYURGA MURAH?

Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!

Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya. Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi.

Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu. Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya. Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.


BANYAK DAN SEDIKIT
Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.

Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.


TIDAK SAMPAI AJARAN
Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.

Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut:

“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).

Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.


INSAFI DIRI
Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah

Saturday, July 24, 2010

Tentang Kesahihan Amalan Dan Fadilat Syaaban



Disiarkan pada Jul 23, 2010 dalam kategori Fatwa (www.drmaza.com)

Soalan: al-Fadil Dr Asri yang dikasihi, sekarang kita berada dalam Bulan Syaaban. Apakah amalan yang patut kita lakukan. Saya dengar macam-macam pendapat. Ada kata banyak amalan Bulan Syaaban yang dibuat orang itu tidak ada dalil. Contohnya malam Nisfu Syaaban. Ada kata palsu. Ada kata memang ada dalil. Saya baca di internet pun macam-macam pandangan. Saya ingin beramal dengan amalan yang betul. Bolehkah Dr Asri huraikan?
Anisah, Bangi.


Jawapan Dr MAZA: Saudari Anisah yang dikasihi, sikap saudari yang ingin memastikan ketepatan amalan amat dipuji. Agama ini bukan diikuti tanpa dipastikan kesahihan, atau diikuti tanpa faham. Agama berpaksikan dalil yang diiktiraf. Sesuatu yang tidak berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan hadis-hadis yang sabit (authentic) tidak boleh disandarkan kepada Islam. Dalam masa yang sama, tidaklah pula kita mudah menafikan sesuatu perkara dengan menyatakan ia bukan dari ajaran Islam, sebelum kita benar-benar pasti memang tidak wujud dalil dalam hal tersebut. Mengenai soalan saudari, saya jawab berdasarkan perkara-perkara berikut;

1. Hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan pada Bulan Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak. Bahkan terdapat juga amalan-amalan Bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu, hanya ikutan yang tidak mempunyai apa-apa sumber. Ini seperti amalan sesetengah masyarakat yang membuat juadah khas Bulan Sya’ban dan seumpamanya. Banyak buku-buku yang dijual tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan hadis-hadis yang sahih.


2. Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis memang gemar membuat hadis-hadis palsu yang berkaitan dengan fadilat-fadilat. Ini seperti mereka mengada-adakan fadilat-fadilat bulan tertentu, surah tertentu dan seumpamanya. Mereka akan mengaitkannya pula dengan amalan tertentu seperti solat khusus, doa khusus, puasa khusus pada hari atau bulan yang dikaitkan dengan fadilat itu. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”.( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadis, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).


3. Antara hadis palsu yang direka mengenai bulan-bulan:

“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam (meninggal 414H) (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Halab: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah).

Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab( lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5/173, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):

“Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).


4. Namun tidak boleh dinafikan bahawa di sana juga terdapat hadis-hadis yang sahih mengenai kelebihan Bulan Sya’ban. Antaranya apabila bertanya Usamah bin Zaid Nabi s.a.w mengapa baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi s.a.w menjawab:

“Syaaban antara Rejab dan Ramadan, manusia lalai mengenainya. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” (Riwayat al-Nasai, dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah 4/522).

Aisyah r.aha juga menyebut:

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


5. Hadis-hadis yang disebut di atas dan riwayat-riwayat yang lain menunjukkan kita amat digalakkan berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan sebahagian masyarakat yang suka berpuasa pada Bulan Syaaban adalah amalan soleh.


6. Adapun Nisfu Syaaban, atau pertengahan Syaaban (15 haribulan), terdapat hadis yang sahih tentang kelebihannya di samping banyak hadis palsu mengenainya. Juga tidak terdapat hadis yang sabit mengenai amalan khusus seperti solat khas pada malam tersebut. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat ini bidah lagi mungkar yang jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis kedua solat berkenaan” (4/56. Beirut: Dar al-Fikr).

Al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) menyebut dalam al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudu’ah:

“Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban dari pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu” (ms 72. Mekah: Maktabah Mustafa Baz).


7. Pun begitu tidak dinafikan ada hadis yang sahih Nabi s.a.w menyebut:

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Maka, sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh Nabi s.a.w, maka kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci. Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.


8. Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).


9. Namun begitu, janganlah kita terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum. Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri. Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya. Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki. Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.

Tuesday, July 13, 2010

Menangis kerana tidak dapat menangis...



Tidak ada kata-kata yang dapat saya gambarkan perasaan saya buat masa ni.. Sungguh,saya rindu untuk menangis.. Menangis atas nama rindukan ALLAH..Menangis atas nama mensyukuri nikmatNya,menangis atas nama takut akan kebesaranNya dan menangis atas nama cintakan DIA... Mungkin sahabat-sahabat semua dapat bayangkan betapa jauhnya saya sekarang kan? Betapa kerasnya hati ini...Kerana tidak mampu lagi untuk menangis...Tapi itulah hakikat.. Segunung perasaan segan menyelubungi diri ini ketika artikel ini dicoret.. Tapi itulah realitinya.. Itulah kenyataan..

Saya tidak tahu kenapa hati ini,air mata ini amat payah untuk menitis.. Menitis kerana takutkan ALLAH..menitis kerana rindu akanNya... Masih ingat sewaktu saya masih menjadi pelajar UMS,air mata tidak segan silu untu menitis.. Menitis menghitung dosa...dan menitis menghitung nikmat yang diberikan..

Kemana hilangnya saya..? Terlalu jauhkah saya tersasar sehingga hati ini begini keras..? Banyak sangatkah dosa-dosa yang saya lakukan sehinggakan air mata ini tidak mahu lagi menyebelahi saya? Bedebar rasa hati,sejuk kaki tangan,bergetar jari jemari bila memikirkan keadaan diri ini sekarang.. Kata-kata naqibah suatu petang di surau UMS bermain dan berlegar difikiran saya..

“Jangan zalimi diri sendiri.. Sayangkan diri sendiri..”
Zalimi diri sendiri? Nauzubillah..tidak.. Saya tidak sanggup.. Saya tidak mahu tergolong dalam golongan yang alpa... Hidayah yang diberikan dibiarkan pergi begitu sahaja.. Tidak Ya ALLAH.. Namun,saya tetap lemah.. Meraba-raba di dalam kegelapan.. Seolah terumbang ambing di lautan yang luas.. Di mana salahnya? Di mana pincangnya?

Ya ALLAH..aku hambaMu.. manusia yang diciptakan dengan penuh kelemahan.. Dengan sejuta kedaifan.. Tanpa petunjuk dan sinar hidayahMu aku hina di atas bumiMu.. Kau gengamlah tanganku agar aku dapat terus bertatih.. Merangkak dalam dunia Mu yang penuh pancaroba ini.. Aku tidak kuat tanpa kekuatan MU..Aku bodoh tanpa kepandaianMU,aku hina tanpa rahmatMu..

Ya ALLAH,yang maha mengetahui isi hati..yang lebih dekat dari urat nadiku.. Aku hanya memohon kepada Mu kerana hanya Engkau yang layak untuk menerima perpohonan Ku,kerana Engkau adalah ALLAH..satu-satunya tuhanku yang layak dah wajib disembah.. Ya ALLAH,jangan biarkan aku terus hanyut mengejar dunia sehingga melupakan akhirat Mu,sungguh Ya ALLAh,aku manusia yang cepat alpa dan terlupa dan Engkaulah Maha Mengetahui segala sesuatu..

YA ALLAH,jika kesusahan adalah jalan terbaik untuk aku terus kembali kepada Mu,terus menyusuri jalanMU,terus memperoleh kasihMu,terus mendapat rahmatMu,aku redha Ya ALLAH,andai itu yang dapat mendekatkan aku dengan Tuhan Ku Yang Satu... aku terima segalanya dengan hanya terbuka kerana cinta ini hanya untukMU.. Aku mohon..tersangat bermohon kepadaMU... Tetapkan hati ku ini dijalanMU..kerana kesudahan ku nanti hanya Engkau mengetahuinya... AMin..

Thursday, July 8, 2010

Insaf...Insaf...



Alhamdulillah,dapat gak curi masa nak update blog.. Yelah sejak 234 menjak ni,busy tak usah nak cakap..PM pun kalah agaknya..(ekeleh) hehe...terkejar sana,terlari sini.. Macam tak cukup tanah... Nasib baik tanah kat Kolej Kuantan ni sikit je,simen jer yang banyak...(means,tak luas besar mana pun) hiperbola je lebih.. Kui..Kui..Kui..

Hampir seminggu mula class,banyak benda yang saya belajar.. Yang paling penting masa seminggu ni kami telah dihidangkan dengan banyak sangat-sangat kata-kata motivasi dari pengajar.. Yelah,5 bulan je lagi nak final exam.. Exam yang menentukan hasil usaha kami selama 6 semester kat sini..

Tapi dalam banyak-banyak kata-kata nasihat,kata-kata perangsang,kata-kata bimbingan(bukan sama je ke semua?heheh) ada satu-satunya kata-kata yang memang saya tak akan lupa.. “Jangan kawin lagi...”

Hehehehe.. Bukan apa,pangajar tu macam tahu-tahu je,aura kami semua yang dah mula terfikir untuk berkawin..Dalam sembang kosong dengan kawan-kawan, sekarang dah terselit dah topik-topik yang sebelum ni agak tak biasa nak terselit. contohnya “nanti tema kawin nak warna apa erk?” hehe..

Tapi lepas isu kawin yang dibangkitkan oleh pengajar saya tu,saya mula terfikir..nak tahu apa kata-kata yang buat saya terfikir tu? ini dia...

“Saya dulu menyesal tau sebab kawin muda.. yelah lepas habis belajar,saya kerja dan terus kawin,tengok sekarang nak sambung belajar pun ambil masa yang lama.. Mula-mula saya nak sambung belajar lepas kawin,tapi bila lepas kawin tak jadi sebab saya mengandung,so saya tangguh,nak sambung lepas bersalin,bila lepas bersalin,tak jadi pulak sebab tak boleh berpisah dengan anak.. Tengoklah,saya rasa kalau dulu saya tangguhkan niat nak kawin agaknya saya sekarang dah jadi pengarah kolej.. Yang penting kamu semua kena tetapkan matlamat,nak kawin boleh...tapi lepas kamu sambung degree... It takes about only 3 years before you can apply for ur degree level... Now,let see,average umur u all semua 22,23.. Umur 26 sambung degree,umur 27 kawin la...bukannya tua pun..status andartu sekarang dah di upgrade tau.. 30 belum andartu lagi... Yang penting kamu kena ada minat dan usaha..”

Hehehe..pastu,saya termenung.. betul la apa yang Puan cakap.. kena pentingkan apa yang penting dahulu.. Memang kadang-kadang tengok gambar kawan-kawan kawin, kehendak untuk kawin tu terasa lah jugak(tak banyak pun,sipi-sipi je) tapi sekarang rasa macam ada semangat baru.. Memang dari awal saya dah tekad.. Saya tahu dan saya yakin saya tak nak jadi staffnurse untuk selamanya.. Sebab saya dah letakkan aim pada diri saya,at least,saya pencen dengan pangkat pengajar HEP di kolej Kejururawatan or kalau ada rezeki nak sambung master jadi pengarah kolej.. Sebab aim saya nak lakukan sesuatu dalam bidang nursing ni..(tu pun kalau saya panjang umur,murah rezeki dan di izinkan ALLAH).. Then,bila pengajar tu brain wash balik otak saya ni,aim yang saya letakkan masa mula-mulla daftar kat kolej ni kembali semula ke tempat asal,sebab sebelum ni dia pergi makan angin sekejap... So,saya dah insaf.. Tak nak pikir pasal kawin-kawin ni... hehe


For the conclusion,jangan ikut sangat rasa hati.. Utamakan apa yang lebih penting.. Bina kerjaya... Bila dah berjaya baru boleh bina baitul muslim..insyallah...hehe..Semoga dipermudahkan..