Sunday, March 28, 2010

Mendulang Cinta Allah Melalui Ittiba'ur Rasul


Apabila kita berbicara mengenai soal cinta, lazimnya perbicaraan tersebut akan tertumpu kepada hubungan cinta yang wujud antara sesama manusia. Sebagai contoh ialah kecintaan seseorang anak kepada ibu bapanya, kecintaan seorang suami kepada isterinya, kecintaan seorang guru kepada para pelajarnya dan demikianlah seterusnya.
Selain daripada itu, tidak kurang juga dalam kalangan kita yang sering mengaitkan persoalan cinta dengan perkara-perkara selain daripada kecintaan sesama manusia. Perkara ini adalah suatu yang lumrah kerana hakikatnya cinta itu sendiri memiliki cakupan yang amat luas. Ia meliputi apa jua perkara yang melingkari kehidupan manusia, selagi mana perkara-perkara tersebut berupaya menumbuhkan kebahagiaan dan kedamaian pada jiwa yang empunya rasa cinta tersebut.

Menerusi artikel yang serba ringkas ini penulis akan mengajak para pembaca yang budiman sekalian untuk sama-sama berbicara mengenai persoalan cinta. Sedia kita ketahui bahawa menurut perpektif ajaran Islam, cinta itu memiliki beberapa tingkatannya yang tersendiri. Kecintaan seseorang terhadap ahli keluarganya, ilmu, harta benda dan sebagainya adalah cinta yang lumrah berlaku dalam kebanyakan manusia. Jika ditinjau dari sudut kaca mata ajaran Islam, cinta seperti ini adalah disebut sebagai cinta yang tabi’i.

Akan tetapi apabila kecintaan terhadap perkara-perkara tersebut dilakukan dengan cara yang melampaui batasan syarak maka ia termasuk dalam kategori cinta yang keji. Inilah tingkatan cinta yang amat tercela di sisi ajaran Islam. Dalam hal ini Allah Subhanahu wa Ta’ala memperingatkan kita bahawa:
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi fitnah ujian dan di sisi Allah jualah pahala yang besar. [Surah at-Taghabun: 15]
Selain daripada kedua-dua tingkatan cinta di atas terdapat satu lagi tingkatan cinta di sisi ajaran Islam. Tingkatan cinta inilah yang lazim kita sebut-sebut sebagai ‘cinta yang agung’ iaitu kecintaan seseorang hamba yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam ayat ke-165 dari surah al-Baqarah:
Dan di antara manusia ada yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah, sedang orang-orang yang beriman itu lebih mencintai Allah (berbanding selainnya).


Cukupkah sekadar pengakuan?
Hakikat yang perlu difahami oleh setiap umat Islam bahawa seseorang itu tidak akan mungkin sampai ke destinasi cinta yang teragung, iaitu kecintaan yang hakiki terhadap Allah Subhanahu wa Ta’ala melainkan hendaklah dia terlebih dahulu mencurahkan rasa cintanya itu melalui utusan Allah yang mulia, iaitu Nabi Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Rasa cinta terhadap Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ini pula tidaklah hanya memadai dengan ungkapan di bibir dan dengan luahan hati semata-mata.
Akan tetapi lebih jauh dari itu, kecintaan tersebut hendaklah dibuktikan dengan cara mengikuti segala syariat yang dibawa oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana yang telah termaktub dalam al-Sunnah atau hadis-hadisnya yang sahih. Hakikat ini telah pun dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala menerusi firman-Nya yang bermahfum:
Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika Kamu (benar-benar) mencintai Allah, (maka) ikutilah aku nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [Surah Ali-Imran: 31]
Di samping itu juga, kecintaan tersebut hendaklah diletakkan di aras tingkatan cinta yang tertinggi berbanding kecintaan ke atas selainnya sebagaimana sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
Tidak beriman salah seorang dari kamu sehingga aku lebih dia cintai dari anaknya dan orang tuanya dan manusia seluruhnya. [Hadis riwayat al-Bukhari 1/9, Muslim 1/49, al-Nasa’ 8/114 dan Ahmad 3/177 bersumberkan daripada Anas bin Malik radhiallahu’anh]

 Lantas, bagaimanakah cara yang benar untuk membuktikan kecintaan kita kepada Allah dan Rasulullah?
Sebagaimana yang telah penulis jelaskan dalam beberapa huraian yang lalu bahawa kecintaan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam bukanlah sekadar dengan luahan perasaan atau pengakuan di bibir semata-mata. Akan tetapi hendaklah ia dibuktikan dengan perbuatan (amalan) iaitu dengan cara mengikuti al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.
Hakikat ini adalah suatu yang amat perlu untuk dicermati oleh setiap umat Islam memandangkan pada ketika ini tidak sedikit kita temui di sana-sini adanya segolongan manusia yang mengakui amat mencintai Allah dan Rasul-Nya. Akan tetapi, pada hakikatnya mereka ialah golongan yang paling terkehadapan di dalam mengunggulkan sesuatu yang lain baik berupa perkataan, perbuatan, manhaj dan keyakinan berbanding dengan “firman Allah” dan “sabda Rasulullah” shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih.
Agar lebih mudah difahami, maka berikut akan penulis senaraikan beberapa cara yang dapat kita praktikkan bagi membuktikan rasa cinta dan kasih kita kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, antaranya:

PERTAMA:
Hendaklah umat Islam mengikuti dan melaksanakan sunnah-sunnah baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Ayat berikut sekali lagi menjadi rujukan
Katakanlah (Wahai Muhammad): Jika Kamu (benar-benar) mencintai Allah, (maka) ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. [Surah Ali-Imran: 31]
Sehubungan dengan ayat di atas, al-Imam al-Hafiz Ibnu Katsir rahimahullah menerusi kitab tafsirnya, Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim jilid 1, muka surat 366 menulis:
Ayat ini adalah pemutus kepada sesiapa yang mendakwa mencintai Allah tetapi tidak di atas jalan (al-Sunnah Nabi) Muhammad. Maka sesungguhnya, dia adalah pendusta atas apa yang didakwa sehinggalah dia mengikuti syariat Muhammad dan agama nabawi dalam semua perkataan, perbuatan dan hal-ehwalnya seperti yang pasti dalam Shahih al-Bukhari daripada Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam: Sesiapa yang beramal dengan suatu amalan yang tidak di atas petunjuk kita, maka dia ditolak. [Lihat buku penulis Cukupkah Sekadar Niat? (Karya Bestari Sdn Bhd, Selangor, 2010), ms. 59]

KEDUA:
Hendaklah umat Islam sentiasa mendahulukan perintah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di atas perkataan manusia biasa. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. [Surah al-Hujurat: 1]
A-Imam al-Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah ketika menafsirkan ayat di atas menyebut di dalam kitabnya, I’lam al-Muwaqqi’in, jilid 2, halaman 95 bahawa:
Jangan kamu berkata-kata atau melakukan sesuatu perbuatan sebelum Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam berkata atau melakukannya. Para sahabat Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam pernah ditegur oleh Allah kerana perbuatan mereka yang meninggikan suara ketika berada di sisi Rasulullah shalallahu ‘alaihi wasallam. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana kamu menyaringkan suara semasa bercakap sesama kamu. (Larangan yang demikian) supaya amalan-amalan kamu tidak hapus pahalanya, sedangkan kamu tidak menyedari. [Surah al-Hujurat: 2]
Sekiranya meninggikan suara mengatasi suara Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam, menjadi penyebab kepada terhapusnya (pahala) amalan (seseorang), (maka) bagaimana pula kedudukan seseorang yang mendahulukan pendapat, akal, siasah dan pengetahuannya daripada apa yang dibawa (disunnahkan) oleh Nabi shalallahu ‘alaihi wasallam. Sudah tentulah amalan-amalannya lebih mudah terhapus. [Lihat buku penulis Cukupkah Sekadar Niat?, ms. 70-71]

KETIGA:
Mencukupkan diri dengan apa yang telah diajarkan oleh baginda dan meninggalkan apa-apa dilarang olehnya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah. [Surah al-Hasyr: 7]
Termasuk dalam hal ini juga ialah menerima segala keputusan hukum yang telah ditetapkan oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam, menerimanya dengan lapang dada serta tidak membencinya. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim (wahai Muhammad sebagai pemutus) dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya. [Surah al-Nisa’: 65]

KEEMPAT:
Tidak mempertentangkan sunnah dan sabda baginda dengan perkataan manusia biasa. Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Dan tidaklah patut laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang beriman yang mukmin, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat, sesat yang nyata. [Surah al-Ahzab: 36]
Sehubungan dengan hal ini, Qatadah radhiallahu‘anh pernah berkata:
Ibnu Sirin radhiallahu‘anh telah memberitahu kepada seorang lelaki tentang sebuah hadis daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam. Kemudian lelaki itu berkata: Tetapi si fulan berkata begini dan begini (yang bertentangan dengan hadis). Maka Ibnu Sirin radhiallahu‘anh berkata: Aku berkata ini hadis daripada Nabi tetapi engkau berkata si fulan telah berkata begini dan begitu. (Oleh itu) aku tidak akan bercakap dengan engkau selama-lamanya! [Hadis riwayat ad-Darimi dalam Sunan ad-Darimi (no. 449)]

KELIMA:
Sentiasa mengucapkan selawat dan salam ke atas baginda shallallahu ‘alaihi wasallam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya mengucapkan selawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah untuknya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. [Surah al-Ahzab: 56]
Termasuk dalam hal ini ialah mengucapkan selawat dan salam ke atas baginda shallallahu ‘alaihi wasallam apabila mendengar nama baginda shallallahu ‘alaihi wasallam disebut. Bersumberkan daripada Husain bin Ali bin Abi Thalib radhiallahu’anh, dia berkata bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda.
Orang yang paling bakhil (kedekut) itu ialah orang yang (apabila) namaku disebut di sisinya kemudian dia tidak berselawat kepadaku. [Hadis riwayat al-Tirmidzi 1/201 (no. 1736), al-Nasa’i dalam Amal al-Yaum (no. 55, 56 dan 57), Ibn Hibban (no. 2388), al-Hakim 1/549, ath-Thabrani dalam Mu’jam al-Kabir 3/137 (no. 2885) dan lain-lain dengan sanad yang sahih]
Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa mengucapkan selawat dan salam ke atas baginda shallallahu ‘alaihi wasallam ini hendaklah dilakukan mengikut kaifiyat atau tatacara yang telah ditunjukkan oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam. Hal ini kerana selawat juga adalah salah satu bentuk peribadatan di sisi ajaran agama. Maka dengan itu hendaklah setiap kalimah dan bilangan selawat yang diucapkan tersebut berlandaskan kepada hadis-hadis Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam yang sahih. Syeikh Abu Ubaidah menulis:
Setelah kita ketahui bahawa bacaan selawat kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam merupakan contoh ibadah dan sesuatu (yang) bersifat tauqifi (yakni terikat dengan ketentuan nas –pen), kita tidak boleh menambah mahupun mengubah lafaz yang telah ditetapkan dengan formula selawat yang baru. Tindakan itu merupakan salah satu bentuk pembangkangan terhadap pemiliki syariat (iaitu Allah Subhanahu wa Ta’ala) yang sebenarnya harus kita patuhi dan kita cintai dengan sepenuh hati. [Penulis nukil daripada 25 Persoalan Semasa: Huraian dan Jawapan karya Mohd Yaakub Mohd Yunus (Karya Bestari Sdn. Bhd., Selangor, 2007), ms. 272]

KEENAM:
Meninggalkan segala perkara bid’ah dalam urusan agama. Hal ini kerana bid’ah adalah perbuatan maksiat dan termasuk dalam seburuk-buruk perkara yang amat dibenci oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
Sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah kitabullah. Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Sedangkan seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (dalam urusan agama) dan semua yang diada-adakan adalah bid’ah. Semua yang bid’ah adalah sesat dan semua yang sesat tempat kembalinya adalah neraka. [Hadis riwayat al-Nasa’i dalam Sunan ¬al-Nasa’i (no.1560)]
Justeru, amatlah menjauhi kebenaran apabila sesuatu kaum itu mengakui mencintai Allah dan Rasul-Nya sedangkan pada waktu yang sama mereka melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan al-Sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan mencabar kesempurnaan agama yang dibawa oleh baginda shallallahu ‘alaihi wasallam.

KATA PENUTUP
Demikianlah secara ringkas mengenai hakikat mencintai Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya, Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam dan beberapa kaedah yang dapat menghantarkan kita kepada cinta yang sejati terhadap kedua-duanya. Diharapkan dengan penulisan yang serba ringkas ini dapat memberikan anjakan paradigma kepada kita semua untuk sentiasa berusaha ke arah menyemai rasa cinta kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan baginda shallallahu ‘alaihi wasalam sesuai dengan kaedah yang telah ditetapkan oleh al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih. Akhir kata, penulis mendoakan agar kita semua termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa mendapat keredhaan dan kasih sayang Allah Subhanahu wa Ta’ala di dunia dan di akhirat.


Artikel ini hasil nukilan hebat saudara Mohd Hairi Nonchi,pelajar tahun akhir pendidikan,UMS

No comments:

Post a Comment