Sunday, August 2, 2009

Jangan Mengubah Suai Agama...




Pernahkah kita bertanya kepada diri kita sendiri, adakah ibadah yang saya amalkan selama ini sesuatu yang tulen lagi murni sebagaimana amalan Baginda s.a.w dan para sahabatnya suatu ketika dahulu ? Bagaimanakah reaksi kita setelah kita menyedari bahawa segelintir amalan yang kita lakukan selama ini didapati sudah tidak lagi menepati ajaran yang di bawa oleh Rasulullah s.a.w? Lazimnya, sesetengah daripada kalangan kita akan menepis persoalan-persoalan ini dengan alasan-alasan yang mudah lagi tidak ilmiah seperti “Ahh.. itu perkara keci saja, lagipun bukankah amalan yang aku buat itu kelihatan baik? ” Risalah pada kali ini akan memaparkan kepada sidang pembaca sekalian mengenai beberapa riwayat hadis dan atsar para sahabat yang mengisahkan tindakan segelintir umat Muhammad yang sengaja cuba bertindak menukar-nukar ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Menarik untuk diperkatakan di sini, jika diamati riwayat-riwayat tersebut, maka akan kita dapati bahawa hampir kesemua perkara yang diubahsuai oleh mereka itu hanyalah melibatkan perkara yang remeh-temeh sahaja. Malah, jika dinilai dari sudut lojik akal, apa yang mereka lakukan itu adalah sesuatu yang dipandang baik lagi rasional. Walau bagaimanapun timbul persoalan, mengapakah tindakan mereka yang kelihatan “seremeh” dan “sebaik” itu mendapat tentangan dari pihak yang berpegang teguh kepada sunnah Rasulullah? Hadis, atsar dan penerangan para ulama’ yang mengkutinya di bawah ini merupakan hujah yang paling tepat bagi menjawab persoalan ini:

Ibnu al-Arabi bercerita dari al-Zubair bin Bakkar bahawa dia mendengar Imam Malik bin Anas r.h telah didatangi seorang lelaki, lalu orang itu berkata: "Wahai Abu ‘Abdulah, dari mana aku harus melakukan ihram?". Imam Malik menjawab: "Dari Dzil Hulaifah, sebagaimana Rasulullah s.a.w (memulakannya). Lalu orang itu berkata: "Sesungguhnya aku ingin berihram dari masjid ini (Masjid Nabawi di Madinah)." Imam Malik berkata: "Jangan anda lakukan sedemikian". Orang itu berkata: "Sesungguhnya aku ingin melakukan ihram dari masjid ini dari sisi kuburan (Rasulullah s.a.w). Imam Malik berkata: "Jangan lakukan seperti itu. Sesungguhnya aku khuatir fitnah yang bakal menimpa anda." Orang itu berkata : "Fitnah apa? Aku hanya menambahkan beberapa mil (batu) sahaja". Imam Malik berkata: "Fitnah apa lagi yang lebih besar dari keyakinan (seolah-olah anda merasakan bahawa) anda mendapat keutamaan melebihi keutamaan yang ditetapkan oleh Rasulullah. Aku mendengar Allah berfirman: "Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya (Rasulullah agar mereka) beringat serta berjaga-jaga jangan (sampai) mereka ditimpa bala’ bencana atau ditmpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya”
[1]

Daripada Nafi’ beliau meriwayatkan bahawa pada suatu ketika seorang lelaki telah bersin di sisi Ibn 'Umar r.a lalu lelaki tersebut berkata: "Alhamdulillah Wassalam 'ala Rasuulillah" (Puji-pujian bagi Allah dan salam sejahtera ke atas Rasul-Nya). (Mendengarkan yang demikian) berkatalah Ibnu 'Umar: "(Adakah) saya mengucapkan "Alhamdulillah Wassalam 'ala Rasuulillah" ? Bukanlah ucapan seperti ini (yang diajar oleh Rasulullah s.a.w kepada kami selepas bersin). (Akan tetapi) Rasulullah s.a.w telah mengajarkan kepada kami ucapan ini : "Alhamdulillah 'ala kulli haal” (Puji-pujian bagi Allah pada semua keadaan)”
[2].

Dalam riwayat yang lain : Daripada Said ibn al-Musayyib, bahawasanya dia telah melihat seorang lelaki solat setelah terbit fajar lebih daripada dua rakaat. Lelaki itu memperbanyakkan rukuk dan sujud dalam solatnya itu. Lalu beliau pun melarang lelaki itu berbuat sedemikian. Maka lelaki itupun berkata kepadanya: “Wahai Abu Muhammad! Adakah Allah mengazabku di atas solat yang aku kerjakan ini? Beliau menjawab: Tidak!, akan tetapi Allah mengazabmu kerana perlakuanmu ini menyelisih sunnah (cara Nabi)”
[3]

Dalam kitabnya, Irwa’ al-Ghalil, jilid 2, halaman 236, Syaikh Nashiruddin al-Albani r.h ketika mengulas hadis di atas telah berkata: “Ini adalah jawapan yang sangat baik daripada Said ibn al-Musayyib dan merupakan senjata yang paling tajam terhadap ahli bid’ah yang sering menganggap baik perbuatan bid’ah dengan label zikir dan solat, kemudian mereka mengingkari ahli sunnah yang mengingkari perbuatan mereka dan menuduh ahli sunnah mengingkari zikir dan solat. Padahal, ahli sunnah sebenarnya hanya mengingkari penyimpangan mereka dari sunnah dalam tata-cara dan perlaksanaan zikir, solat dan amalan yang seumpama”
[4]
Diriwayatkan oleh al-Barra’ bin ‘Azib r.a, di mana beliau telah berkata: “Rasulullah s.a.w bersabda : “Jika engkau memasuki tempat tidurmu, berwuduklah seperti wuduk ketika ingin mengerjakan solat. Kemudian berbaring ke sebelah kanan sambil membaca: “ Ya Allah, aku serahkan diriku kepada-Mu dan aku tundukkan wajahku kepada-Mu. Aku tundukkan wajahku kepada-Mu dan aku serahkan urusanku kepada-Mu. Aku sandarkan tulang belakangku kepada-Mu kerana berharap dan takut kepada-Mu. Tiada tempat sandaran dan tempat keselamatan melainkan kepada-Mu. Ya Allah, aku beriman kepada kitab suci-Mu yang telah Engkau turunkan dan Nabi-Mu yang telah Engkau utuskan” Sambung baginda lagi: “Jika engkau meninggal dunia pada malam itu, engkau berada dalam keadaan fitrah suci dan jadikanlah doa itu sebagai akhir perkataanmu. Al-Barra’ berkata: “Kemudian aku membacanya di hadapan Nabi s.a.w. Apabila tiba pada perkataan: “ Ya Allah aku beriman kepada kitab suci-Mu yang telah Engkau turunkan …” aku (telah mengubah lafaz ‘Nabi-Mu’ lalu) menyebut “dan Rasul-Mu” baginda bersabda: “Jangan engkau baca seperti itu (yakni lafaz ‘Rasul-Mu’), tetapi bacalah “dan Nabi-Mu yang telah Engkau utuskan”
[5]

Al-Mubarakfuri r.h dalam kitabnya, Tuhfah al-Qahwazi telah pun menerangkan beberapa hikmah yang terkandung di sebalik pelarangan baginda terhadap tindakan sahabat daripada menukar kalimah “rasul” kepada “nabi” tersebut : “ Para ulama’ telah mengemukakan beberapa alasan menunjukkan bahawa Rasulullah s.a.w melarang mengubah doa yang diajar oleh Baginda daripada “nabiyyika” (dan Nabi-Mu) kepada “warasulika” (dan Rasul-MU). Al-Hafiz Ibn Hajar r.h berkata bahawa alasan utamanya ialah kerana bacaan zikir adalah bersifat taufiqiyah (menerima tanpa dipersoalkan). Ia tidak boleh disamakan antara satu sama lain. Oleh itu, wajib membacanya seperti lafaz yang sedia ada. Ini adalah pendapat yang dipilih oleh al-Mundziri. Beliau berkata bahawa seseorang mesti membaca setiap huruf dalam zikir seperti yang diriwayatkan. Ada kalanya pahala bacaan itu berkait dengan huruf-huruf itu. Mungkin baginda menerima wahyu yang memerintahkan agar membaca doa dan zikir itu. Jadi, wajib membacanya mengikut apa yang diriwayatkan”
[6]

Menerusi kitabnya, Shahih at-Targhib wat Tarhib, jilid 1, muka surat 388, Syaikh Nashiruddin al-Albani r.h (w.1420H) pula berkata: “Di dalam hadith ini terdapat peringatan yang sangat tegas, bahawa wirid-wirid dan zikir-zikir itu taufiqiyah. Tidak boleh dirubah, baik dengan (berbentuk) tambahan, pengurangan atau hanya dengan merubah lafaz yang tidak mengubah erti. Kerana lafaz “Rasul” lebih umum dari “Nabi”, tetapi Rasulullah s.a.w tetap membetulkannya”
[7]

Daripada keterangan hadis dan huraian para ulama’ di atas, maka jelaslah kepada kita bahawa perbuatan mengubah suai atau menukar-nukar ajaran Islam, sama ada dengan cara menambah atau mengurangi sesuatu yang datang daripada baginda s.a.w – walaupun yang diubah suai itu kelihatan remeh-temeh dan dipandang baik di sisi akal manusia – ia adalah merupakan salah satu perbuatan yang tercela di sisi syara’. Justeru, sebagai umat Nabi Muhammad, hendaklah kita mengelakkan diri daripada mengubah suai apa-apa yang telah diajarkan olehnya kepada kita. Marilah kita beramal dengan amalan yang murni lagi tulen yang berasal daripada amalan baginda s.a.w dan para sahabat r.a agar segala amalan kita diterima di sisi Allah s.w.t dan mendapat kemuliaan di sisi baginda s.a.w pada hari Kiamat kelak. Semoga, hadis di bawah ini dapat dijadikan sumber pengajaran dan pedoman buat kita bersama :

“Abu Hurairah r.a berkata: “Di suatu ketika Rasulullah s.a.w telah melalui sebuah kawasan perkuburan, seraya bersabda: “Salam sejahtera ke atas kamu, wahai perkampungan orang-orang beriman! Kita akan menyusul bersama kamu. Insya’Allah, aku berharap aku dapat melihat saudara-saudaraku”. Bertanya para sahabat yang hadir ketika itu: “Wahai Rasulullah! Bukankah kami ini saudara kamu?”. Rasulullah s.a.w menjawab: “Tidak, kamu adalah sahabat-sahabat aku. Saudara-saudaraku adalah mereka yang akan datang di kemudian hari (selepas kewafatanku) dan aku memimpn mereka ke telaga Hawdh”.

Para sahabat bertanya lagi: “Wahai Rasulullah! Bagaimanakah kamu akan mengenali umat-umat yang akan datang selepas (kewafatan) kamu?”. Rasulullah s.a.w menjawab: “Tidakkah seseorang yang memiliki seekor kuda yang berkaki putih di kalangan beberapa ekor kuda yang hitam dapat mengenali yang mana satukah kudanya?” (Jawab para sahabat) “Sudah tentu ya Rasulullah!”. Rasulullah meneruskan: “Sesungguhnya mereka (umat Islam selepas kewafatan Rasulullah) akan datang di hari Kebangitan (Kiamat) dengan tanda-tanda keputihan di dahi, tangan dan kaki mereka disebabkan oleh kesan-kesan wudhu’, dan aku akan memimpin mereka ke arah telaga Hawdh. Akan tetapi, ada di antara mereka yang akan dihalau daripada telaga Hawdh seperti unta-unta berkeliaran. Lalu aku memanggil-manggil akan mereka: “ Datanglah ke mari! (sebanyak 3 kali)”. Dan ketika itu seseorang (atau suatu suara) yang akan berkata: “Mereka itu adalah orang-orang yang telah menukar-nukar perkara (agama) selepas engkau”. Lalu aku akan berkata pula: “Jikalau begitu pergilah mereka, pergilah mereka, pergilah mereka!”
[8]

Penulis artikel : Mohd Hairi Nonchi (Pendidikan Dengan Sains Sosial)

[1] Dinukil daripada buku Fahaman Wahhabi Menular: Satu Analisis Terhadap Dakwaan Yang Ditimbulkan Oleh Akhbar Utusan Malaysia, Mohd Yaakub bin Mohd Yunus, terbitan Jahabersa, Johor Bahru, ms. 72-73
[2] Dikeluarkan oleh at-Tirmidzi dalam Kitab al-Isti'zan wa al-Adab, jld. 8, ms.8 (no:2882) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak, Kitab al-Adab, jld 4, ms. 295, no: 7691
[3] Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Kitab al-Solat: Bab : Man lam yusolli ba’dal fajri illa rak’atainil fajri, jld. 2, ms. 654, no: 4445. Syeikh Ali Hassan berkata : Sanadnya sahih. Lihat ‘Ilmu ‘Usul al-Bida’, ms. 71
[4] Sebagai contoh dalam hal ini ialah berkenaan dengan amalan berzikir selepas solat-solat fardhu di mana pada kebanyakan masjid sering kelihatan segolongan umat Islam yang mengamalkan zikir-zikir yang jelas menyimpang dari apa yang telah diajar atau dicontohkan oleh Rasulullah s.a.w seperti menyaringkan suara secara keterlaluan sehingga mengganggu orang lain yang masih beribadah, mengamalkan lafaz/kalimah zikir dan bilangan yang tidak warid (diambil) dari sunnah yang sahih dan pelbagai lagi bentuk penyimpangan dari al-sunnah atau cara Rasulullah s.a.w. Malangnya, apabila ada pihak yang menegur perbuatan tersebut, mereka serta merta melenting lalu menganggap teguran tersebut sebagai mengingkari amalan berzikir. Sedangkan yang diingkari oleh ahli sunnah –sebagaimana yang dijelaskan oleh Syaikh al-Albani di atas – hanyalah penyimpangan dari aspek tata-cara tertentu sahaja, bukan mengingkari amalan berzikir secara total. Andaikata para penggemar amalan bid’ah ini meluangkan masa sedikit sahaja untuk mengkaji, meneliti dan mempelajari dari kitab-kitab yang menerangkan kaifiat sebenar amalan berzikir menurut sunnah Rasulullah s.a.w yang sahih, nescaya mereka akan dapat melihat penyimpangan-penyimpangan tersebut. Insya’ Allah.
[5] Hadis riwayat al-Bukhari (bersama Fath al-Baari) jld. 1, ms. 357, hadis no: 247 dan Muslim, hadis no: 2710.
[6] Dinukil daripada buku Fatwa Panduan Solat Dari Takbiratulihram Sehingga Salam, Selenggaraan Abu Ruwais Al-Subrawi, Karya Bestari, Shah Alam, Selangor, cetakan pertama , 2005, ms. 133.
[7] Dinukil daripada buku Keajaiban Zikir Pagi Dan Petang, Majdi bin ‘Abdil Wahhab Ahmad, terbitan Media Tarbiyah, Jawa Barat, Indonesia, cetakan 2007, ms. 13
[8] Imam Malik, Al Muwwatha’, hadis no: 2.6-29. Dinukil daripada buku Zikir-zikir Selepas Solat Fardhu Sebagaimana Yang Diajarkan & Dilakukan Oleh Rasulullah s.a.w, Hafiz Firdaus Abdullah, Syarikat Jahabersa, Johor, cetakan kedua, 2005, ms. 1-3.

No comments:

Post a Comment