Saturday, July 24, 2010

Tentang Kesahihan Amalan Dan Fadilat Syaaban



Disiarkan pada Jul 23, 2010 dalam kategori Fatwa (www.drmaza.com)

Soalan: al-Fadil Dr Asri yang dikasihi, sekarang kita berada dalam Bulan Syaaban. Apakah amalan yang patut kita lakukan. Saya dengar macam-macam pendapat. Ada kata banyak amalan Bulan Syaaban yang dibuat orang itu tidak ada dalil. Contohnya malam Nisfu Syaaban. Ada kata palsu. Ada kata memang ada dalil. Saya baca di internet pun macam-macam pandangan. Saya ingin beramal dengan amalan yang betul. Bolehkah Dr Asri huraikan?
Anisah, Bangi.


Jawapan Dr MAZA: Saudari Anisah yang dikasihi, sikap saudari yang ingin memastikan ketepatan amalan amat dipuji. Agama ini bukan diikuti tanpa dipastikan kesahihan, atau diikuti tanpa faham. Agama berpaksikan dalil yang diiktiraf. Sesuatu yang tidak berasaskan sumber yang sah iaitu al-Quran dan hadis-hadis yang sabit (authentic) tidak boleh disandarkan kepada Islam. Dalam masa yang sama, tidaklah pula kita mudah menafikan sesuatu perkara dengan menyatakan ia bukan dari ajaran Islam, sebelum kita benar-benar pasti memang tidak wujud dalil dalam hal tersebut. Mengenai soalan saudari, saya jawab berdasarkan perkara-perkara berikut;

1. Hadis-hadis yang berhubung kelebihan atau amalan pada Bulan Syaaban, ada yang sabit dan ada yang tidak. Bahkan terdapat juga amalan-amalan Bulan Syaaban yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat itu, hanya ikutan yang tidak mempunyai apa-apa sumber. Ini seperti amalan sesetengah masyarakat yang membuat juadah khas Bulan Sya’ban dan seumpamanya. Banyak buku-buku yang dijual tentang kelebihan Rejab dan Syaaban itu tidak berasaskan hadis-hadis yang sahih.


2. Dalam sejarah ilmu hadis, ramai pemalsu hadis memang gemar membuat hadis-hadis palsu yang berkaitan dengan fadilat-fadilat. Ini seperti mereka mengada-adakan fadilat-fadilat bulan tertentu, surah tertentu dan seumpamanya. Mereka akan mengaitkannya pula dengan amalan tertentu seperti solat khusus, doa khusus, puasa khusus pada hari atau bulan yang dikaitkan dengan fadilat itu. Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah ( meninggal 643H) menyebut:

“Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka. Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. AlhamdulilLah”.( Ibn al-Salah, `Ulum al-Hadis, m.s. 99, Beirut: Dar al-Fikr al-Mu`asir).


3. Antara hadis palsu yang direka mengenai bulan-bulan:

“Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”. Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam (meninggal 414H) (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha`if, m.s. 95, Halab: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyah).

Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib iaitu solat pada jumaat pertama bulan Rejab( lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-`Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5/173, Beirut: Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah).

Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H):

“Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w. Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam”. (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).


4. Namun tidak boleh dinafikan bahawa di sana juga terdapat hadis-hadis yang sahih mengenai kelebihan Bulan Sya’ban. Antaranya apabila bertanya Usamah bin Zaid Nabi s.a.w mengapa baginda banyak berpuasa pada Bulan Syaaban, Nabi s.a.w menjawab:

“Syaaban antara Rejab dan Ramadan, manusia lalai mengenainya. Padanya (Bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa” (Riwayat al-Nasai, dinilai hasan oleh al-Albani dalam Silsilah al-Sahihah 4/522).

Aisyah r.aha juga menyebut:

“Aku tidak pernah melihat Rasulullah s.a.w berpuasa dalam bulan lain lebih daripada puasa Syaaban. Baginda pernah berpuasa Syaaban sepenuhnya, kecuali hanya beberapa hari (tidak puasa)” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).


5. Hadis-hadis yang disebut di atas dan riwayat-riwayat yang lain menunjukkan kita amat digalakkan berpuasa sunat pada Bulan Syaaban. Perbuatan berpuasa pada Bulan Syaaban adalah sunnah yang sabit daripada Nabi s.a.w. Amalan sebahagian masyarakat yang suka berpuasa pada Bulan Syaaban adalah amalan soleh.


6. Adapun Nisfu Syaaban, atau pertengahan Syaaban (15 haribulan), terdapat hadis yang sahih tentang kelebihannya di samping banyak hadis palsu mengenainya. Juga tidak terdapat hadis yang sabit mengenai amalan khusus seperti solat khas pada malam tersebut. Kata al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya yang masyhur al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab:

“Solat yang dikenali dengan solat al-Raghaib iaitu dua belas rakaat ditunaikan antara Maghrib dan Isyak pada Jumaat pertama Bulan Rejab, juga Solat Malam Nisfu Syaaban sebanyak seratus rakaat; kedua-dua solat ini bidah lagi mungkar yang jelek. Jangan kamu terpengaruh disebabkan keduanya disebut dalam Kitab Qut al-Qulub dan Ihya ‘Ulum al-Din. Jangan juga terpengaruh dengan hadis yang disebut dalam dua kitab berkenaan kerana kesemuanya palsu. Jangan kamu terpengaruh dengan sesetengah imam yang keliru mengenai kedudukan hadis-hadis kedua solat berkenaan” (4/56. Beirut: Dar al-Fikr).

Al-Imam al-Syaukani (meninggal 1250H) menyebut dalam al-Fawaid al-Majmu’ah fi al-Ahadith al-Maudu’ah:

“Telah diriwayatkan mengenai solat malam Nisfu Syaaban dari pelbagai riwayat, kesemuanya batil lagi palsu” (ms 72. Mekah: Maktabah Mustafa Baz).


7. Pun begitu tidak dinafikan ada hadis yang sahih Nabi s.a.w menyebut:

“Allah melihat kepada hamba-hambaNya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain. Al-Albani menilai sahih dalam Silsilah al-Ahadith al-Sahihah 3/135).

Maka, sewajarnya apabila hal ini diberitahu oleh Nabi s.a.w, maka kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci. Syirik dan permusuhan antara muslim adalah sebab seseorang itu tidak diampunkan. Selain itu dua dosa tersebut, mudah-mudahan kita semua diampunkan.


8. Dr Yusuf al-Qaradawi ada mengulas tentang amalan malam Nisfu Syaaban dengan katanya:

“Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam. Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu doa yang panjang, yang menyanggahi nas-nas (al-Quran dan Sunnah) serta bercanggahan dan bertentangan pula isi kandungannya…perhimpunan (malam nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidah, dan setiap yang bidah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka” (Dr. Yusuf al-Qaradawi, Fatawa Mu`asarah, 1/382-383, Beirut: Dar Uli al-Nuha, Beirut).


9. Namun begitu, janganlah kita terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum. Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri. Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya. Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki. Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.

Tuesday, July 13, 2010

Menangis kerana tidak dapat menangis...



Tidak ada kata-kata yang dapat saya gambarkan perasaan saya buat masa ni.. Sungguh,saya rindu untuk menangis.. Menangis atas nama rindukan ALLAH..Menangis atas nama mensyukuri nikmatNya,menangis atas nama takut akan kebesaranNya dan menangis atas nama cintakan DIA... Mungkin sahabat-sahabat semua dapat bayangkan betapa jauhnya saya sekarang kan? Betapa kerasnya hati ini...Kerana tidak mampu lagi untuk menangis...Tapi itulah hakikat.. Segunung perasaan segan menyelubungi diri ini ketika artikel ini dicoret.. Tapi itulah realitinya.. Itulah kenyataan..

Saya tidak tahu kenapa hati ini,air mata ini amat payah untuk menitis.. Menitis kerana takutkan ALLAH..menitis kerana rindu akanNya... Masih ingat sewaktu saya masih menjadi pelajar UMS,air mata tidak segan silu untu menitis.. Menitis menghitung dosa...dan menitis menghitung nikmat yang diberikan..

Kemana hilangnya saya..? Terlalu jauhkah saya tersasar sehingga hati ini begini keras..? Banyak sangatkah dosa-dosa yang saya lakukan sehinggakan air mata ini tidak mahu lagi menyebelahi saya? Bedebar rasa hati,sejuk kaki tangan,bergetar jari jemari bila memikirkan keadaan diri ini sekarang.. Kata-kata naqibah suatu petang di surau UMS bermain dan berlegar difikiran saya..

“Jangan zalimi diri sendiri.. Sayangkan diri sendiri..”
Zalimi diri sendiri? Nauzubillah..tidak.. Saya tidak sanggup.. Saya tidak mahu tergolong dalam golongan yang alpa... Hidayah yang diberikan dibiarkan pergi begitu sahaja.. Tidak Ya ALLAH.. Namun,saya tetap lemah.. Meraba-raba di dalam kegelapan.. Seolah terumbang ambing di lautan yang luas.. Di mana salahnya? Di mana pincangnya?

Ya ALLAH..aku hambaMu.. manusia yang diciptakan dengan penuh kelemahan.. Dengan sejuta kedaifan.. Tanpa petunjuk dan sinar hidayahMu aku hina di atas bumiMu.. Kau gengamlah tanganku agar aku dapat terus bertatih.. Merangkak dalam dunia Mu yang penuh pancaroba ini.. Aku tidak kuat tanpa kekuatan MU..Aku bodoh tanpa kepandaianMU,aku hina tanpa rahmatMu..

Ya ALLAH,yang maha mengetahui isi hati..yang lebih dekat dari urat nadiku.. Aku hanya memohon kepada Mu kerana hanya Engkau yang layak untuk menerima perpohonan Ku,kerana Engkau adalah ALLAH..satu-satunya tuhanku yang layak dah wajib disembah.. Ya ALLAH,jangan biarkan aku terus hanyut mengejar dunia sehingga melupakan akhirat Mu,sungguh Ya ALLAh,aku manusia yang cepat alpa dan terlupa dan Engkaulah Maha Mengetahui segala sesuatu..

YA ALLAH,jika kesusahan adalah jalan terbaik untuk aku terus kembali kepada Mu,terus menyusuri jalanMU,terus memperoleh kasihMu,terus mendapat rahmatMu,aku redha Ya ALLAH,andai itu yang dapat mendekatkan aku dengan Tuhan Ku Yang Satu... aku terima segalanya dengan hanya terbuka kerana cinta ini hanya untukMU.. Aku mohon..tersangat bermohon kepadaMU... Tetapkan hati ku ini dijalanMU..kerana kesudahan ku nanti hanya Engkau mengetahuinya... AMin..

Thursday, July 8, 2010

Insaf...Insaf...



Alhamdulillah,dapat gak curi masa nak update blog.. Yelah sejak 234 menjak ni,busy tak usah nak cakap..PM pun kalah agaknya..(ekeleh) hehe...terkejar sana,terlari sini.. Macam tak cukup tanah... Nasib baik tanah kat Kolej Kuantan ni sikit je,simen jer yang banyak...(means,tak luas besar mana pun) hiperbola je lebih.. Kui..Kui..Kui..

Hampir seminggu mula class,banyak benda yang saya belajar.. Yang paling penting masa seminggu ni kami telah dihidangkan dengan banyak sangat-sangat kata-kata motivasi dari pengajar.. Yelah,5 bulan je lagi nak final exam.. Exam yang menentukan hasil usaha kami selama 6 semester kat sini..

Tapi dalam banyak-banyak kata-kata nasihat,kata-kata perangsang,kata-kata bimbingan(bukan sama je ke semua?heheh) ada satu-satunya kata-kata yang memang saya tak akan lupa.. “Jangan kawin lagi...”

Hehehehe.. Bukan apa,pangajar tu macam tahu-tahu je,aura kami semua yang dah mula terfikir untuk berkawin..Dalam sembang kosong dengan kawan-kawan, sekarang dah terselit dah topik-topik yang sebelum ni agak tak biasa nak terselit. contohnya “nanti tema kawin nak warna apa erk?” hehe..

Tapi lepas isu kawin yang dibangkitkan oleh pengajar saya tu,saya mula terfikir..nak tahu apa kata-kata yang buat saya terfikir tu? ini dia...

“Saya dulu menyesal tau sebab kawin muda.. yelah lepas habis belajar,saya kerja dan terus kawin,tengok sekarang nak sambung belajar pun ambil masa yang lama.. Mula-mula saya nak sambung belajar lepas kawin,tapi bila lepas kawin tak jadi sebab saya mengandung,so saya tangguh,nak sambung lepas bersalin,bila lepas bersalin,tak jadi pulak sebab tak boleh berpisah dengan anak.. Tengoklah,saya rasa kalau dulu saya tangguhkan niat nak kawin agaknya saya sekarang dah jadi pengarah kolej.. Yang penting kamu semua kena tetapkan matlamat,nak kawin boleh...tapi lepas kamu sambung degree... It takes about only 3 years before you can apply for ur degree level... Now,let see,average umur u all semua 22,23.. Umur 26 sambung degree,umur 27 kawin la...bukannya tua pun..status andartu sekarang dah di upgrade tau.. 30 belum andartu lagi... Yang penting kamu kena ada minat dan usaha..”

Hehehe..pastu,saya termenung.. betul la apa yang Puan cakap.. kena pentingkan apa yang penting dahulu.. Memang kadang-kadang tengok gambar kawan-kawan kawin, kehendak untuk kawin tu terasa lah jugak(tak banyak pun,sipi-sipi je) tapi sekarang rasa macam ada semangat baru.. Memang dari awal saya dah tekad.. Saya tahu dan saya yakin saya tak nak jadi staffnurse untuk selamanya.. Sebab saya dah letakkan aim pada diri saya,at least,saya pencen dengan pangkat pengajar HEP di kolej Kejururawatan or kalau ada rezeki nak sambung master jadi pengarah kolej.. Sebab aim saya nak lakukan sesuatu dalam bidang nursing ni..(tu pun kalau saya panjang umur,murah rezeki dan di izinkan ALLAH).. Then,bila pengajar tu brain wash balik otak saya ni,aim yang saya letakkan masa mula-mulla daftar kat kolej ni kembali semula ke tempat asal,sebab sebelum ni dia pergi makan angin sekejap... So,saya dah insaf.. Tak nak pikir pasal kawin-kawin ni... hehe


For the conclusion,jangan ikut sangat rasa hati.. Utamakan apa yang lebih penting.. Bina kerjaya... Bila dah berjaya baru boleh bina baitul muslim..insyallah...hehe..Semoga dipermudahkan..


Monday, June 14, 2010

Sabarlah~~~ 6 Bulan Je Lagi...


Takutnya saya nak menghadapi semester depan.. Semester 6 merangkap semester akhir. Perasaan saya ketika ini sememangnya bercampur baur.. Takut..gembira...resah...menjadi satu. Jika diikut dengan perkiraan hari saya masih mempunyai lebih kurang 21 hari untuk bersantai dan berehat di rumah.. Persiapan yang rapi dari segi mental dan fizikal sangat-sangat diperlukan... Artikel ini ditulis supaya saya dapat berkongsi perasaan dengan rakan-rakan semua..Tiada niat lain.. Sebab itulah saya masukkan entry ini dalam ruangan santai..hehe

Terus terang saya katakan saat-saat menghabiskan masa di rumah adalah saat-saat yang terindah bagi saya.. Tiada kata-kata yang dapat saya gambarkan betapa saya gembira berada di rumah.. Mungkin sebab itulah family saya mengelarkan saya seorang ‘perumah’,ntah apa-apalah kan? heheh....Tapi, saya pasti,sesiapa sahaja bersetuju dengan saya.. Menghabiskan masa di rumah untuk cuti semester adalah kenangan yang terindah buat kita semua kan? hehe

Tetapi saya tahu,saat-saat indah ini akan berakhir juga.. Awal bulan Julai ni,nak tak nak saya kena juga memulakan semula kehidupan sebagai seorang pelatih jururawat.. Haiiilaaa....belum mula lagi tapi debaran dah terasa.. Saya tahu banyak cabaran dan dugaan yang sedang menanti saya.. Ya! Sesiapa sahaja yang pernah menjadi student nurse pastinya akan mengetahui betapa hebatnya cabaran dan dugaan berada di semester akhir.. Tapi kadang-kadang saya pelik juga,kalau masa dekat university dulu,semester yang last-last nilah ramai yang ponteng kuliah...Jadual pun tak lah padat sangat.. Hanya sibuk dengan tesis dan projek semester akhir.. bestnya tengok senior time tu.. tambah lagi,kalau time cuti semester..Mereka tu kadang-kadang lewat 2 minggu untuk daftar subjek.. Tapi still cool dan steady.. Almaklumlah,seniorlah katakan.. Tapi bagi student nurse tak boleh macam tu.. Makin senior gelaran kita,makin padat jadual harian.. Makin banyak dugaan dan cabaran.. Dan makin berat tanggungjawab yang dipikul semasa sesi klinikal.. Biasalah,red pit la katakan..hehehe..poyos je!

Apa yang menunggu kami semester depan? Sesi teori yang lebih singkat.. Kami hanya mempunyai 4 minggu untuk menghabiskan sesi teori di dalam class dan baki selebihnya kami akan ditempatkan di clinical area.. Mungkin supaya kami lebih didedahkan dengan pengalaman berkerja di wad apabila sudah bergelar staffnurse kelak.. Tapi,yang pasti class prep siang dan malam senang menunggu kami...tu tak masuk dengan skill lab lagi.. Sem depan jugalah kena cover semua topik yang belajar daripada sem 2 sampai sem 6.. Induksi juga sedang menunggu kami.. Ayoyo..memang sem depan adalah sem yang terbaik untuk saya turunkan berat badan agaknya..heheh..

Tapi takpelah.. Apa-apa pun kena juga redah kan? Bak kata orang bersusah-susah dahulu bersenang-senang kemudian.. Lepas 6 bulan ni,saya mempunyai masa 2 bulan untuk berehat di rumah sebelum bergelar seorang jururawat terlatih.. Time tu memang merdeka!! Tak sabar nak tunggu saat itu tiba..hehe..

“Tak apalah..sabarlah kak aini.. Sekarang ni susah masa belajar.. Nanti masa kerja lain pula masalah yang datang.. Cabaran dan dugaan yang datang masa kerja lagi hebat dari masa belajar” Itulah jawapan yang diberi oleh permaisuri hati saya(my umi) ketika saya mengutarakan kebimbangan saya untuk berada di semester akhir..

Betul kata umi..sememangnya ujian kita di dunia ini tidak akan pernah surut.. Kerana janji ALLAH.. Dia menguji di antara kita semua untuk mengetahui siapa yang paling kuat keimananya.. Saya yakin,saya pasti setiap ujian yang datang,sesuai dengan tahap keimanan saya.. Dan saya juga pasti,setiap ujian yang datang itu tandanya ALLAH sayang pada saya.. Jadi sekarang? Tak payah nak risau,rusing,takut,bimbang... Sebab kita sebagai hambaNYA kena sentiasa redha.. Pasrah.. Dan,yang paling penting... Sabarlah aini..6 bulan je lagi...=P

Friday, June 11, 2010

Kenapa Saya Suka Budak Salaf???


Kenapa saya suka budak salaf? Eh..jangan salaf faham... budak tu bukan single,tapi plural..means ramai..hehe...jadi..kenapa saya suka kawan dengan mereka yang bermanhaj salaf? Saya yakin,ramai dikalangan kawan-kawan dah terbiasa dengan gelaran salafi di Malaysia ni.. Dan paling senang citer,salafi kat Malaysia ni lebih dikaitkan dengan Puak Wahabi.. Macam kelakar la pulak.. Yelah... Salaf ni kan rigid sangat.. ini tak boleh..itu tak boleh... yelah,memang la tak boleh kalau asyik ikut kepala sendiri..ikut amalan nenek moyang tak habis-habis.. bila suruh nyatakan dalil,tak dapat pulak.. terkebil..kebil.. Haillaaa..macam mana ni.. pastu yang paling best bila masuk bab furuq’.. semua benda dia nak cakap furuq’...hehe.. tu jelah modal mereka nak lepaskan diri..

“Apabila dikata kepada mereka: “Marilah mengikut (kepada) apa yang diturunkan oleh ALLAH dan mengikut Rasul.” Mereka menjawab: “Cukuplah dengan apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya”. Dan apakah mereka itu akan mengikuti nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat petunjuk?” al-Maidah:104

Masih teringat lagi ketika saya masih setahun jagung dengan manhaj ni... masih dalam proses mencari... Terus terang saya cakap,bukan senang-senang je tau saya nak terima sesuatu yang baru.. Tambahlah lagi saya tak pernah langsung-langsung didedahkan dengan perkara-perkara macam ni.. So,banyaklah juga cerita yang boleh saya kongsi dengan rakan-rakan semua pengalaman saya sebelum saya benar-benar fall in love dengan manhaj ni..

Di antaranya.. Pernah satu hari tu.. saya hadiri satu kuliah agama.. Masa itu ceramah pasal bulan ramadhan,sebab lagi seminggu umat islam nak sambut bulan ramadhan.. Ustaz tu bukan main sibuk duk bercakap kelebihan solat tarawih... malam pertama tarawih dapat itu...malam kedua dapat ini..malam ke tiga dapat itu lagi..subhanallah,kalau dengar apa yang ustaz tu cakap rasa macam dengan solat tarawih selama sebulan tu dah cukup,tak payah beribadah selama setahun.. Tapi,nak dijadikan cerita.. last sekali,masa sesi soal jawab,saya bangun.. tak tahulah dari mana dapat kekuatan nak bangun dan menuju ke mic..

“Assalamualaikum ustaz,saya nak tanya,kelebihan solat tarawih yang ustaz ceritakan tadi, ada dalil tak? Mungkin ustaz boleh sertakan beberapa dalil dari al-quran dan hadis nabi yang sahih? Terima kasih ustaz..”

Seisi dewan senyap.. saya dah berdebar tahap bima sakti.. Ustaz tu belek buku.. pastu beralih pada kertas... Dan selang beberapa minit kemudian..
“Bagus soalan saudari tadi.. Tapi,sekarang saya tak bawa pula dalilnya.. Nantilah saya bawa pada kelas yang akan datang.. Tolong ingatkan saya nanti ya.. bagus..bagus..soalan tu..Ada soalan lain?”

Glup!! saya telan air liur.. hailllaa macam mana ni? Ustaz bukan main dah cerita seribu sejuta manfaat dan kelebihan dari solat tarawih..tapi bila diminta dalil,kenapa ustaz tak boleh bagi? saya kecewa.. teramat kecewa... kenapalah mesti berlaku macam ni? Bukankan sepatutnya jika kita mahu berbicara tentang soal ibadat,kita mesti memiliki dan berpaksi pada dalil yang sahih? Jika tidak, sudah tentu ibadat tersebut tidak akan diterima? Dan yang bertambah sedihnya..kuliah agama seterusnya tidak dihadiri oleh ustaz tersebut.. Janji tinggal janji... =(

Sesungguhnya perkataan yang paling benar adalah kitabullah (al-Qur’an). Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad shallallahu ‘alaihi wasallam. Sedangkan seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (dalam urusan agama) dan semua yang diada-adakan adalah bid’ah. Semua yang bid’ah adalah sesat dan semua yang sesat tempat kembalinya adalah neraka. [Hadis riwayat al-Nasa’i dalam Sunan al-Nasa’i (no. 1560)]

Bukan niat saya untuk memperkecilkan ustaz tersebut....jauh sekali untuk menyatakan saya jauh lebih baik dari beliau.. tidak..tidak..nau’zubillah... apa yang saya mahu adalah kebenaran.. jika benar ustaz tersebut dalam jalan yang benar,pasti saya tidak akan sengan silu membenarkan apa yang dibawa..

So,moralnya disini.. Niat Tidak Menghalalkan Cara!! Benar niat ikhlas.. Tapi kalau cara tak betul tak boleh jadi.. Kena seiring.. Ermm..saya tak nak cakap banyak pasal ni sebab dalam entry yang lepas saya dah sentuh pasal ni.. Tapi pada sahabat-sahabat yang nak tahu lebih lanjut apa yang patut sahabat-sahabat tahu,sahabat semua bolehlah dapatkan buku yang tersangatlah best..penuh infomasi dan sangat-sangat berilmu.. Buka yang bertajuk “CUKUPKAH SEKADAR NIAT?” hasil nukilan hebat saudara HAIRI NONCHI.. yang kini sememangnya sudah dipasaran.. Terbitan Karya Bestari .. Harga nya RM 11 sahaja.. Memang berbaloi-baloi.. Tak rugi baca buku ni.. Betul...Tak tipu.. InsyaALLAH...=)


Errmm...sekarang beralih pula dengan kawan-kawan dan ustaz yang bermanhaj salaf.. Setiap kali soalan saya tujukan,mereka tidak pernah mendahulukan pendapat,buah fikiran dan logik akal mereka semata-mata.. Setiap soalan yang saya ajukan pastikan dijawab berserta dengan dalil yang sahih.. Ya ALLAH..saya benar-benar rasa puas hati dengan setiap apa yang saya dapat.. Seperti biasa jawapan yang saya terima tidak pernah menghampakan saya.. Dan apa yang lebih membanggakan, walau sekecil mana dan seringan mana masalah dan pertanyaan yang saya ajukan mereka tidak pernah memandang perkara itu senang dan kecil.. Kerana tiada benda kecil dan ringan jika berkaitan dengan ibadat dan akidah..

Lagi? Apa yang boleh saya banggakan dengan kawan-kawan salafi saya? Nak tahu? AKHLAK mereka sangatlah bagus.. Tidak cepat melatah,tidak cepat menghukum dan tidak sesekali merasakan mereka hebat.. Bahkan meraka dengan sabar melayan setiap pertanyaan saya walaupun kadangkala pertanyaan saya tu agak kebudak-budakannya.. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak sesenangnya memperkecilkan orang lain.. Jika berdebat atau memberi hujah mereka tegas,namun disebalik ketegasan masih terselit sikap rendah diri.. Bertolak ansur,tidak mengharapkan hasil namun usaha yang perlu dilihat.. Saya sayang mereka semua kerana ALLAH.. Keikhlasan mereka dapat dilihat dengan jelas melalui usaha mereka menyampaikan ilmu..

Siapa cakap budak salafi ni kurang ajar? Berlagak? Sombong dengan ilmu yang dimilik mereka? Siapa cakap? Percayalah kawan-kawan,setelah hampir 2 tahun berjinak dengan mannhaj salaf barulah saya kenal siapa mereka sebenarnya.. Mereka bukan sombong atau rigid..tetapi mereka tegas dalam beramal.. Jika sesuatu amalam ibadat itu bukan dari sumber yang sahih mereka pasti akan menolaknya meskipun ia disampaikan oleh tok guru atau ustaz yang sangat berpengaruh dalam masyarakat. Mungkin itu yang membuatkan mereka kelihatan sombong.. Yelah,seiapa yang menentang arus pasti akan dipandang asing kan?

Jadi,kesimpulannya mengapa saya suka budak salaf? Jawapanya...

-Sesiapa yang mengenal salaf pasti :-

1) Melihat semua perkara yang berkaitan dengan agama(ibadat dan akidah) adalah besar walaupun perkara itu sebenarnya nampak kecik pada mereka..
“Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat” Al-Muzzammil :5

2) Tidak akan bercakap atau memberi hujah tanpa disertakan dengan sebarang dalil yang shahih..
“Dan mereka (Yahudi dan Nasrani) berkata “ Sesekali tidak akan masuk syurga kecuali orang-orang yang beragama Yahudi atau Nasrani.” Demikian itu (hanya) angan-angan mereka yang kosong belaka. Katakan, “Tunjukanlah bukti kebenaranmu jika kamu adalah orang-orang yang benar” Al-Baqarah:111

3) Tidak berani bercakap mendahului firman ALLAH dan Sabda Rasulullah..
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului ALLAH dan RasulNya(dalam melakukan sesuatu perkara sebelum mendapat hukum atau izin daripada kedua-duanya): bertaqwalah kamu, sesungguhnya ALLAH Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. al-Hujurat : 1

4) Sabar melayani karenah dan bermacam pertanyaan kerana dakwah menyampaikan nasihat kena sabar
“Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, dan nasih menasihati supaya menaati kebenaran, dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran” al-‘Asr:3


Mungkin ada dikalangan sahabat-sahabat yang tidak berpuas hati dengan artikel yang saya tulis ini.. Maafkan saya jika apa yang tulis ini ada yang menyingung perasaan atau ada yang tersalah.. Saya hanyalah manusia biasa.. Yang masih dalam perjalanan mencari ilmu..

“Menuntut ilmu adalah WAJIB ke atas muslim” HR Ibn Majah- Hadis no:224. Hadis ini dinilai shahih oleh Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani dalam semakan terhadap Sunan Ib Majah..

Mungkin ada di antara rakan-rakan ingin berkongsi,membetulkan,atau menambah apa yang saya tulis.. dengan senang hati dan penuh berlapang dada saya mempersilakan.. kerana saya pasti..destinasi kita semua hanyalah akhirat yang satu..iye kan? InsyaALLAH..=)

Friday, April 30, 2010

Nak ke Tak Nak jeee...


“Aini,bagi saya tazkirah aini..saya lemah sangat la aini..Lagipun dah lama kita tak kumpul sama-sama kn? Rasa jauh je sekarang...”

Glup!! Saya telan air liur... terasa mata sedikit berpinar.. time tu saya begitu khusyuk wat revision topik cataract.. Definisi cataract.. klasifikasi cataract.. tapi bila tetiba kawan saya datang duduk di sebelah dan meluahkan perasaannya terus seram sejuk dibuatnya..Terus mati pergerakkan pen yang begitu ligat menari di atas kertas sebentar tadi.. Saya membetulkan sweater yang tersarung kemas di badan.. Keadaan kelas sungguh dingin tetapi tidak berjaya mendinginkan hati saya.. Entah mengapa kata-kata kawan saya tu terus menyusap masuk ke hati... something wrong!! Ada yang tak kena... saya tahu..

Saya membetulkan kedudukan,duduk bersandar dan terus menatap wajah rakan yang sememangnya sangat saya sayangi itu.. Wajahnya tenang tetapi saya tahu ada yang cuba disampaikan...
“Kenapa ni?”
“Tak tahulah..saya rasa ada yang tak kena..perasan tak,sejak dua menjak ni,kita sibuk sangat sampaikan tak ada masa untuk benda lain..saya rindu nak dengar tazkirah lepas solat subuh macam kita buat dulu.. ada yang tak kena dengan saya,tapi saya tak tahu apa dia..” saya senyum.. namun cukup kelat.. my dear, me too... jawab saya dalam hati tidak terluah...

Petang tu bila balik bilik,termenung panjang saya... Lama... Rasa sebak je cam nak nagis... tapi,memang tak nak nagis...dah banyak dah nagis.. “Janganlah nangis... malu tau... kalau nagis,nampak sangat tak redha dengan takdir ALLAH..”nasihat kak ja saya pegang sampai sekarang...
Tapi,apa boleh buat..hati ni haaa.... hailaa... kuatlah hati... orang islam mesti kuat!! lupa?

Tapi itulah hakikatnya..hakikat yang sebenarnya dah lama saya sedar tapi buat-buat tak sedar... saya akui,sejak beberapa bulan ni,saya sibuk sangat dengan management,dengan research yang memang boleh buat intracranial pressure meningkat,dengan study nye yang boleh buat malam-malam mengigau bukak buku... sebab frankly speaking.. sem ni sem yang paling mencabar.. paling kerap buat saya tachycardia setiap kali tiba time jawab soalan dalam kelas....hakikat yang tak dapat dinafikan..

Tapi akhirnya teguran dan luahan hati kawan saya tadi menyebabkan saya terus tersedar... tersedar dari lena yang panjang... bila saya flash back balik...barulah saya ingat,last sekali kami berkumpul beramai-ramai tuk dengar tazkirah 2 bulan yang lepas..time tu belum masuk clinical posting lagi.. Tapi,bila dah masuk clinical posting terus senyap.. masing-masing sibuk dengan jadual wad yang berbeza..jumpa pun time class prep and time makan... tupun just sempat tanya pasal research... kenapalah boleh jadi macam ni aini...? rasa bersalah sangat... kenapalah saya lupakan benda yang penting macam ni.. Now, I am totally sure,I am not a good friend... saya sempat sms sifu saya..tanya macam mana cara dia study dalam masa yang sama tidak pernah lupa untuk berdakwah(menulis).. jawapannya..
“ Jujurnya ana lebih banyak habiskan masa untuk berdakwah dan menulis,tanpa mengabaikan tanggungjawab akademik. Tapi,yakinlah bantuan Allah..Yang penting meletakkan sesuatu ikut priority..”

Terus terang saya cakap,saya cukup bangga dengan sifu saya tu... dalam masa sibuk belajar,masih sempat menulis artikel yang sememangnya hebat..sampaikan memenangi beberapa pertandingan.. Tambahan lagi every sem dia boleh score 3 pointer ke atas... fuh!! memang tabik spring laa kat dia..
Habis tu,saya kat mana? kenapa tak boleh jadi macam dia..? boleh..antara nak ke tak nak je aini.... Tahu pun... dan Alhamdulillah,saya dah tahu apa yang saya nak.. banyak benda yang perlu difikirkan balik.. dan banyak benda yang perlu dibetulkan..kena bermula dari sekarang... dan saya tekad mulai hari ni..saya kena bijak bahagikan masa... dah boleh start buat time table dah ni...(teringat time sekolah rendah dulu).. tapi itulah yang sepatutnya.. ..kini saya yakin,jika betul kita mengharapkan ALLAH untuk terus pegang hati kita di jalanNYA,pasti Dia tidak akan membuatkan kita hanyut terlalu jauh..Akan tiba jua getaran di hati yang cakap benda tu salah,even kita sendiri pun tak tahu dari mana datangnya ia.. Betul...yakinlah kawan-kawan...kalau kita sentiasa berdoa untuk ditetapkan hati dijalanNYA,pasti ALLAH tidak akan lupakan kita... percayalah...

Harapan? harapan kita utk berubah dan mengubah,harapan kita utk masa depan yg indah..Just simply talk to Him.. DIA sentiasa mendengar sebab dia Maha Mendengar.. No matter how u said it..no matter when and where...No matter what... Sebab doa tu cam wireless dan coverage dia masuk satu universe...so? berdoalah..!!!!!


Saturday, April 10, 2010

2 minggu A.K.A 14 hari



Alhamdulillah..syukur hanya kepada ALLAH swt kerana akhirnya saya selamat menghabiskan sesi management selama 2 minggu yang telah ditetapkan. Memandangkan group saya merupakan group yang terakhir menjalani sesi management,menyebabkan perasaan saya ni berdebar-debar tahap bima sakti..

Takut..bimbang..semuanya menjadi satu.. masih teringat,hari pertama menjejakkan kaki ke wad Mawar 7B (Wad medical perempuan) perasaan saya dup dap dup dap.. Yang sebetulkan kami terasa sedikit ralat kerana sepanjang menjalani sesi clinical di HTAA(hospital Tunku Ampuan Afzan)dari sem 1 sampailah sem 5 belum pernah lagi kami ditempatkan di wad tersebut.. Tapi,tetiba je time management kena posting kat wad tu.. Dugaan..Dugaan..

Tapi daripada cerita member-member yang dah pernah masuk wad tu semua cakap wad tu best.. Taklah sesibuk wad medical lelaki... Staffnurse nya pun spoting-moting..dan betul lah... sepanjang berada di wad tu,saya berasa sangat-sangat gembira... patient pun tak lah banyak sangat kerenahnya kalau nak dibandingkan dengan wad medical lelaki... tambah lagi HO,MO,sister,staffnurse,JM,PPK..Fuh!!@@ semuanya spoting habis... Automatik perasaan takut nak manage dah bertukar kepada perasaan tak nak habis manage...hehehe..~~~@@

Namun apakan daya,kena juga pasrah... awak tu student lagi aini oiii..hehehe..
So,hari ni Sabtu(10/4/2010) adalah hari terakhir saya berada di wad tersebut dengan maksud lain adalah hari terakhir saya menjalani sesi management di sana.. waaa~~~ sedihnya nak tinggalkan wad 7B.. sedih sangat-sangat..tak tipu ni.. kalau boleh rasa cam nak posting kat wad tu sampai habis semester..hehe..suka suki jeee..

Kehlah,jom cerita pasal pengalaman apa yang saya dapat sepanjang menjalani sesi management.. Tapi,sebelum tu saya rasa kekawan mesti tak tahu kan sesi management tu apa... macam ni,sesi management lebih kurang macam kita yang kena handle staf bawahan kita..dalam erti kata lain kita kena incharge wad atau kubikel tersebut.. Means,dalam satu masa kita kena tahu semua tentang pesakit-pesakit yang kita jaga.. Katakanlah 1 kubikel tu ada 9 patient so,ke 9-9 patient tu kita kena tahu everything pasal mereka.. Sakit apa,apa rawatan yang doktor bagi,patient tu ambil ubat apa..semualah...serba serbi.. Dari ikut wad round,tulis report,hantar patient gi x-ray,wat appointment dengan CT scan,MRI,refer case pada physiotherapy dan lain-lain,semua saya kena handle... Bergantung pada apa yang doktor dah order.

Serius,mula-mula memang terasa sangat blur... tapi Alhamdulillah,bila dah masuk hari ke 3 dah bleh catch up... Bila doktor tanya apa-apa atau doktor plan sesuatu saya dah bleh buat dengan agak yakin..hehe(poyos jer).. tapi betul lah..terlalu banyak benda yang saya belajar..yang lebih tepat belajar berdikari,belajar berdiri atas kaki sendiri dan belajar untuk menjadi seorang staffnurse yang boleh berfungsi dengan baik.. Sebelum ni,saya hanya ikut arahan je,tapi sekarang saya yang perlu beri arahan pada orang... everything kita kena tahu,yang paling penting macam mana kita nak berkomunikasi dengan orang ramai...dengan sister,dengan doktor sampaikan dengan radicare pun kena tahu cara nak berkomunikasi tau...huhu..

Mula-mula tu ingatkan manage ni senang je..tapi tidak sesekali.. Tambah lagi bila jaga kubikel acute.. Mak ai,tak cukup tanah rasanya.. That time I wish I have 4 legs..hahaha.. Tambah lagi time saya jaga kubikel acute tu ada patient collapse.. Haru biru kuning kelabu jadinya... mujurlah ada kawan-kawan yang tak jemu-jemu menjenguk ke kubikel saya.. syukur Alhamdulillah.. Walaupun penat+tak sempat makan+ balik lambat+kaki dah tak terasa ada kaki(lenguh tahap tak ingat)heheh...tapi saya rasa happy sangat... Mungkin kerana itu adalah kali pertama saya handle kes macam ni(dgn bantuan satffnurse)... Pengalaman ini tersangatlah berharga untuk saya...Best sangat!!

Lastly, kat sini saya nak ucap tima kasih bebanyak kepada kawan-kawan yang sentiasa menolong sepanjang menjalani sesi management ni.. Yanie,angah,aimi..jasa korang memang kita tak mampu nak balas..Hanya ALLAH je yang boleh membalasnya.. Dan yang penting management mampu membina ukhawah yang kuat antara kami.. “Susah senang kami bersama” Terima kasih Ya ALLAH,terima kasih kawan-kawan..dan terima kasih pada sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung atau tidak langsung.. Pengalaman ini akan saya simpan untuk dijadikan bekal bila dah bergelar staffnurse kelak.. INsyaALLAh..=)