Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Thursday, September 30, 2010

Bagaimana Jika Allah Mencintai Kita?


Lazimnya andai kita mencintai atau merindui seseorang, kita mempunyai keinginan untuk memberitahu orang lain. Seboleh-bolehnya biar semua orang tahu bahawa kita sedang mencintainya. Hati merasa bahagia andai perasaan itu dapat dikongsikan bersama.
Melalui jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter, kita dapat membaca pelbagai luahan mereka yang sedang bercinta. Antaranya:

"Saya sayang abang."
"Saya rindu ibu."
"Saya cinta kamu semua."

Agaknya, bagaimana pula jika Allah mencintai seseorang?
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW pernah bersabda :
"Sesungguhnya Allah SWT jika mencintai seorang hamba, maka Dia memanggil malaikat Jibril dan berkata: "Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!" Maka Jibril pun mencintainya, lalu Jibril mengumumkannya kepada seluruh penduduk langit dan berkata:


"Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia." Maka seluruh penduduk langit pun mencintainya. Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini." (Hadis Riwayat Bukhari)

MasyaAllah! Lihatlah cinta Allah..Sungguh luar biasa hebat..
Ketika Allah mencintai seseorang, Allah yang Maha Agung tidak cukup dengan hanya mengatakan "Aku cinta si dia!"

Tetapi Allah memaklumkan kepada seluruh makhluk-Nya.
Apa kata Allah dalam hadis tersebut?
"Wahai Jibril, aku mencintai orang ini maka cintailah dia!"
Maka Jibril pun membuat pengumuman :
"Wahai penduduk langit, sesungguhnya Allah mencintai orang ini, maka cintai dia."
Kemudian orang itu pun dicintai oleh segenap makhluk Allah di muka bumi ini.

Oh Ar-Rahman Ar-Rahim, bahagianya mereka yang benar-benar dicintai Allah. Pasti hidup mereka sentiasa tenang dan diberkati.
Bayangkan jika semua pembaca iLuvislam.com disayangi Allah SWT. Pasti dunia ini dipenuhi dengan kebahagiaan.

Tidakkah kita mahu menjadi seorang yang benar-benar dicintai Allah?
Namun, selama ini, cinta siapa yang kita kejar?
Rab, 29 Sep 2010 21:18 posted by Im Koyube ,iluvislam.com

Thursday, August 5, 2010

ALLAH perencana terbaik...


“Anak nombor berapa ni akak?”
“Anak no 3...” akak tu menjawab.. Tenang..
Saya angguk... Merenung wajah mulus yang sedang lena dibuai mimpi itu...
“Sejak umur berapa dapat asthma ni kak?”
“Umur 4 bulan .. Mula-mula akak ingat semput biasa aje.. Tapi dah lama-lama jadi makin teruk,asal batuk ngan selesema
datang, haa..datanglah jugak lelah dia..” Saya angguk lagi.. Masih merenung bayi comel berusia 8 bulan itu.
”Ada adik kecik ke?” giliran akak yang berusia pertengahan 30 an itu pula mengajukan soalan..
“ Tak ada...Yang paling bongsu dah tingkatan 3 akak....”
“Owh,dah besar lah...adik bradik berapa orang?”
“5..saya yang ke 3..”
Akak tu angguk lagi.. Saya senyum..
“Dah berpunya ke?”
Glup!! Saya telan air liur.. Akak ni biar benar..
“Sapa? Saya?”
“Yelah..adik lah...dah ada pakwe ke?”
Saya ketawa kecil.. Sejak bergelar student nurse inilah kali pertama saya diajukan dengan soalan yang out of syllabus seperti itu oleh patient.. Akak ni buat lawak la plak..hehehe
“Tak ada kot..” saya jawab dengan katawa yang masih bersisa..cuba menyembunyikan malu sebenarnya..
“Betul ke tak ada?”
Saya hanya mengangguk..
“Kenapa? akak nak rekemen sapa-sapa kat saya ke?” saya sekadar mengusik..
Akak tu pula yang macam tersipu malu..
“Budak muda zaman sekarang mana nak orang tolong carikan.. Mereka dah pandai cari sendiri..”
“Yeke? Kalau macam tu, nampaknya memang saya tak kahwin la akak...”
Akak tu tergelak.
“Umur berapa?”
“Baru 23 kak..”
“Ermm..dah boleh start cari dah tu.. Berkawan dulu.. Kenal-kenal dulu.. Kenal hati budi masing-masing.. Kalau sesuai,bolehlah ke bab seterusnya..”
Hehehe..Saya gelak lagi.. Akak ni memang kelakar la.. Sporting habis...
“Insyaallah kak..kalau ada jodoh tak ke mana.. Kalau dah jodoh,yang tak cari pun akan datang jugak pada kita..”

Setiap kali teringat perbualan santai dengan patient saya tu,saya akan tersenyum lebar..
Lahai...macam manalah akak tu boleh bukak topik yang cangitu ek? hehehe..
Errmm.... kawan dulu..kenal hati budi masing-masing,lepas tu boleh ke bab seterusnya..
Macam mana tu? Errmm...(saya garu dagu).. Entahlah.. saya pun tak tahu.. Nak berkawan? Tapi berkawan macam mana? Tanya khabar?
-Salam..awak buat apa? dah makan? dah minum? saya nak kawan dengan awak boleh??- Macam tu ke?

“Aini..awak memilih sangat kot..”
Memilih? Perlu ke perkataan itu ditimbul.. Tak patut..tak patut.. kelakar bebenar..
Bagi saya,erti sebenar ‘memilih’ jika di lihat dalam kamus dewan sendiri pun,adalah membuat satu keputusan apabila terdapat beberapa pilihan.. dan jelas,sudah terang lagi bersuluh,kalau nak guna istilah memilih tu,saya perlukan beberapa calon.. Tapi masalahnya calon sorang pun tak ada.. hehehe.. So,istilah ‘memilih’ tu awal-awal lagi dah di reject!!

Errrmmm... tapi mungkin juga kerana saya cuba untuk mendapatkan yang terbaik... seseorang yang terbaik untuk memimpin saya ke arah ALLAH yang satu.. seseorang yang terbaik untuk menjadi nakhoda dalam ‘kapal’ yang akan kami bina.. Salah ke saya mahu yang terbaik..? Saya tahu,saya bukanlah seorang wanita yang terbaik untuk mendapatkan seorang lelaki yang baik.. Saya tahu,saya hanyalah sebutir pasir yang ada di mana-mana.. namun tidak salah rasanya jika sebutir pasir yang biasa ini mahu dihiasi dengan sebentuk mutiara agar dapat menumpang cahaya yang menghiasi mutiara itu..

Diri saya penuh dengan kekurangan.. Tidak layak jika mahu digandingkan dengan lelaki yang baik.. Cukup ilmu agama.. Solat berjemaah menjadi rutin harian.. Sunnah Nabi menjadi pegangan..Al-Quran menjadi peneman harian.. Puasa sunat menjadi perkara biasa.. Saya tidak layak untuk lelaki sebaik itu.. Sedar.. Bak kata orang ukur baju di badan sendiri..

“Boleh saya tahu aini suka lelaki mana mana?”
Saya tersenyum... Soalan cepumas..
Kalau nak diikutkan hati bermacam-macam criteria saya nak tetapkan.. Berkajang-kajang kertas kajang yang perlu saya gunakan.. Nak yang baik,sayang saya lebih,tak cepat kecik hati, pandai jaga hati family saya,nak yang sopan
santun,berkerjaya,muka ala-ala Aaron Aziz...
Fuhh!! demand tahap tak ingat.. Agaknya kalau makcik yang jual ubi kayu kat tepi jalan tu baca,mesti gelak terguling-guling dia..hehe.. Tapi lepas difikirkan balik,layak ke saya dapat lelaki yang ada pakej selengkap itu..? Errmm...macam tak je.. So saya bagi jawapan yang ringkas kepada yang bertanya..
“Saya sebenarnya tak kisah pun lelaki tu macam mana.. Saya tak mengharapkan ustaz pun sebab saya pun bukannya ustazah.. Saya cuma harap biarlah saya dapat lelaki yang ada ilmu dunia dan ilmu akhirat.. Yang boleh bagitahu saya benda tu salah,benda tu betul.. Yang boleh jaga saya..dan yang paling penting yang boleh didik saya dan kemudian saya dapat mendidik anak-anak saya menjadi seorang yang hebat... tu je..”

Entahlah..sebenarnya malas nak fikir pasal ni.. Tapi semenjak 2 menjak ni.. Macam banyak pula dugaan yang menjengah.. Dugaan hati dan perasaan.. Tapi jauh di sudut hati saya,saya masih mengharapkan seseorang yang terbaik.. Di kurniakan oleh ALLAH pada saya untuk membimbing saya dunia akhirat.. Yang boleh menjadi imam untuk solat jemaah kami yang pertama.. Dan menjadi lelaki kedua yang menyemak bacaan al-quran saya (yg pertama abah) selepas kami sah bergelar suami isteri.. yang boleh memberi tazkirah pertama kepada saya selepas selesai kami di ijab kabulkan..Itulah impian saya sebenarnya.. Jikalah ALLAH memakbulkan doa saya ini..tiada kata-kata yang dapat saya ucapkan.. Betapa berterima kasihnya saya kepada ALLAH.. betapa bersyukurnya saya..

Tapi apa-apa pun,akhirnya kita kena berserah pada takdir.. Saya redha siapa jua jodoh saya.. Kerana saya yakin ALLAH sayangkan saya.. DIA tidak pernah menzalimi hamba-hambanya.. Sesiapa sahaja yang diberikan adalah yang terbaik untuk saya.. Kerana ALLAH adalah perencana terbaik...



Tuesday, August 3, 2010

Warkah Untuk Mu calon suamiku...



Salam Sejahtera buat calon suamiku,
moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati dirimu yang tidak pernah kutemui, namun doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaanNya…
“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang sholehah,”

Kumulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini..

Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.

Calon zaujku,
”Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu..” Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini. Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh arwah umi dan arwah abah. Tiada harta untuk kupersembahkan dalam taklik ijab kita nanti. Tiada harta sebagai jaminan bahawa kau akan menikmati sedikit kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan. Hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata ...

"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨
(Ar-Rum: 21)

Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku hanyalah sebatang kara di dunia ini. Arwah umi dan abah telah menitipkan aku di bawah pengawasan Allah sebagai penjaga mutlak diriku. Namun apa yang pasti, aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa as, sama seperti mu. Ingin aku berkongsi lafaz sahih ini denganmu ...

”... maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri...”
(Ali Imran : 159-160)


Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata. Aku tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang agung. Melalui pencarian ilmu agama bersama, marilah kita jadikan pernikahan ini sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam.

Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini, aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak kita untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul,

" Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya."
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih)

Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan dan jodoh.
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An Nisaa’ : 1)

Calon Suamiku yang dirahmati,
" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An-Nissa':34)

Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia, aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku dan anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir. Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya.

Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah. Ingin aku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku. Kau terlalu membimbangkan akan kehendak bersifat duniawi semata-mata. Benar?!

Ketahuilah, aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtangga kita dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara.

Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan.

Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah Mustaffa Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini.

Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini. Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini.

Akhir bicara, maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala kita disatukan.

Wassalam

.::. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu .::. ~tulang rusuk kirimu~ pertemuan... menghadiahkan kita kasih sayang... jika cinta satu pasti bertemu... ia tidak ternilai... kerana antara hati kita telah tiada antaranya lagi yg ada hanyalah cinta kasih Ilahi... kita berpisah hanya sementara kerna pertemuan bukan milik kita... jasad dan suara berjauhan sentiasa namun cinta abadi... biar berpisah selalu menderita kerana syurga menagih ujian sedang neraka dipagari oleh nikmat bertemu tidak jemu...berpisah tak gelisah...

nukilan-akak alhan dari iluvslam.com...thanks akak sebab menyediakan artikel yang sehebat ini untuk tatapan kami..=)

Thursday, February 18, 2010

aku tidak ingin membuatnya lupa...


Sudah lama rasanya ruangan ‘cinta’ ini tidak ter’update’. Sebab tak ada masa? tak kot...masa ada,cuma sibuk dengan benda lain..tambahan lagi ,bagi saya,sahabat-sahabat tentunya tidak berasa selesa jika asyik-asyik bab cinta yang saya bincangkan..
So,kali ni saya ada bahan yang ingin dikongsi bersama anda yang sudi berkunjung ke teratak ini..simple je isunya kali ini...cinta membuatkan kita mudah lupa... benarkah begitu? Novel Tautan Hati karya Fatimah Syarha benar-benar membuatkan saya kagum akan bakat penulis muda itu. Tidak keterlaluan jika saya katakan novel tersebut adalah antara novel terbaik yang pernah saya baca. Gaya bahasa yang bersahaja namun olahan ayat yang cukup indah membuatkan sesiapa sahaja yang membacanya akan mengulangi pembacaan untuk beberapa kali. Sememangnya ia sangat berguna untuk kita para remaja. Berbagai unsur terselit di sana,dari dakwah,akidah,percintaan,persahabatan dan banyak lagi.. Memandangkan enteri kali ini adalah mengenai cinta jadi saya mahu berkongsi apa yang di paparkan oleh penulis di dalam novel tersebut mengenai percintaan. Untuk pembacaan seterusnya saya rasa ada baik sahabat semua dapatkan di pasaran..
Ia mengisahkan tentang seorang lelaki atau mungkin layak dipanggil ustaz telah berubah apabila menjejakkan kaki ke universiti. Di zaman sekolahnya dahulu,dia sangat terkenal dikalangan pelajar sebagai seorang lelaki yang wara’,menjaga pandangan dan sangat zuhud dengan dunia dan apa yang lebih membanggakan beliau adalah ketua pelajar di sekolahnya. Di zaman sekolahnya dahulu,dia telah tertarik dengan seorang gadis yang juga layak dipanggil ustazah. Namun,apakan daya cintanya tidak terlafaz... Bukan tiada keberanian tapi dia yakin jika ada jodoh dengan gadis itu tentunya tidak akan ke mana. Namun,sayang seribu kali sayang,apabila menjejakkan kaki ke dunia baru,dunia universiti yang penuh dengan ujian dan cabaran,dia tewas.Tewas dengan dugaan dunia dan yang lebih haru apabila dia tewas dengan pujuk rayu seorang gadis yang tidak pernah sekalipun terdetik di hatinya untuk memiliki seorang gadis seperti itu. Perkenalan dengan gadis itu meneyebabkan dia semakin jauh. Hujung minggunya tidak lagi diisi dengan program keilmuaan tetapi dia lebih senang keluar tengok wayang,makan-makan dan window shopping dengan si pujaan hati.

Secara kebetulannya,wanita yang menjadi pujaan hati lelaki tersebut ketika di sekolah dahulu turut menuntut di universiti yang sama. Dia melihat dengan mata sendiri perubahan yang berlaku pada lelaki yang penah menjadi seorang yang sangat dikaguminya sewaktu sekolah dahulu. Pernah suatu hari ada seorang sahabat yang menyatakan lelaki itu berubah kerana dia tidak membalas cintanya.. Bolehkah begitu? Patutkah begitu..? Sememangnya jauh disudut hati wanita itu,dia turut menyintai lelaki itu,namun apakan daya,mereka masih bergelar seorang pelajar. Terlalu banyak perkara lain yang harus didahulukan. Tambahan lagi,mereka sama-sama pasti,mereka belum bersedia untuk ke arah perkahwinan. Jadi apa yang harus dilakukan? Couple? Subhanallah,itu tidak mungkin berlaku.. Ia haram!! Mereka berdua tahu akan haikat itu.. Namun mengapa hati lelaki itu terlalu rapuh? Tidak kah dia tahu,hati ini harus di jaga dari perkara-perkara maksiat..kita sama-sama tahu akan hakikat itu.. Ya ALLAH,kembalikan lah mujahid ini ke jalan yang lurus.. Untuk jalan cerita seterusnya sila dapatkan buku ini di pasaran yee..hehe

Itulah diantara kisah yang boleh saya ceritakan. Saya mengaup wajah.. Novel ini benar-benar telah membuatkan saya berfikir. Betapa mulianya hati wanita itu. Dia tidak ingin membuatkan seorang anak adam itu lupa kepada ALLAH semata-mata kerana menyintainya.. Saya mahu menjadi wanita sebaik ini,saya mahu menjadi sri kandi semulia ini.. Meskipun ini hanyalah watak yang dihidupkan oleh penulis,namun saya yakin masih ada wanita sebegini di alam nyata. Hanya jumlahnya sahaja yang teramat sedikit. Dan jika di beri peluang saya mahu menjadi salah seorang dalam jumlah yang sedikit itu.. InsyaALLAH..

Saya masih ingat,sewaktu di UMS dahulu,ada seorang sahabat saya telah melangsungkan perkahwinannya pada usia yang cukup muda. 2 hari selepas hari perkahwinan beliau,kami sempat berkumpul dan berbual panjang. Namun,antara kata-kata yang tidak akan saya lupakan..
“Kamu semua tahu tak apa yang suami akak bagitahu selepas kami diijab Kabul?”
Kami hanya tesenyum sambil memberi laluan kepada akak itu terus berbicara..
“Awak hanya menumpang je dihati saya. Hanya sedikit ruang yang saya tempatkan awak di hati ini.. Yang selebihnya adalah untuk ALLAH swt dan Rasulullah saw..”

Lebih kurang macam tulah kata kakak itu.. Adoiii,sayunya saya... Dan memang itulah yang sepatutnya kan..? Tapi bila dengar lagu-lagu sekarang yang sanggup mengabadikan cinta kepada manusia ibarat segala-galanya,sehinggakan mereka tidak mungkin boleh teruskan hidup tanpa kehadiran insan yang tersayang.. dan banyak lagi lirik-lirik lagu sekarang yang terlalu mengagungkan cinta sesama makluk hingga lupa kepada cinta kepada DIA yang menciptakan cinta itu....lihatlah betapa jauhnya manusia sekarang...betapa lalainya mereka.. Ampunilah dosa-dosa kami Ya ALLAH..
>
Berbalik kepada cerita tadi,saya meletakkan tekad di hati,ingin menjadi seorang seperti wanita itu.. Saya tidak mahu menjadi seorang wanita yang membuatkan seorang hamba ALLAH itu mecintai saya sehinggakan membuatkan dia lupa pada hakikat sebenar cinta kepada ALLAH.. Saya tidak ingin menyebabkan dia menaruh harapan yang terlalu tinggi pada saya. Sememangnya saya akui,sejak kebelakangan ini saya dihidang dengan beberapa ujian dari ALLAH untuk menguji sejauh mana saya mampu berpegang kepada tekad itu. Saya tidak mahu dia lalai kerana saya.. Jika dia benar-benar menyintai saya,seharusnya dia meletakkan cintanya itu kepada ALLAH dan Rasulullah terlebih dahulu. Kerana saya yakin dengan mencintai ALLAH,dia akan menyintai saya keranaNYA..dan jika dia menyintai Rasulullah dia akan tahu bagaimana Rasulullah mecintai isteri-isterinya tanpa berpaling sedikit pun dari mencintai ALLAH..

Suatu hari nanti,saya pasti,jika panjang umur dan betemu jodoh yang sesuai,saya akan menjadi isteri kepada seorang lelaki. Bagi saya,saya tidak kisah siapa lelaki itu. Cukuplah sekadar dia mempunyai keimanan yang kuat dan ada pekerjaan yang boleh menyara keluarga. Tidak perlu dia mempunyai pekerjaan yang terlalu bagus,wang yang bertimbun jika dia tidak dapat menjaga saya dan mengajak saya mencontohi wanita semulia Siti Khadijah dan sehebat Aisyah Umairah.. Saya tidak kisah untuk hidup sederhana jika itu yang akan membahagiakan saya sehingga ke akhir hayat. Kata orang,suami isteri yang bercinta kerana ALLAH akan kembali bercinta di akhirat nanti. Saya ingin kasih sayang kami kekal sehingga ke sana nanti.

Oleh itu,sebagai kesimpulan,untuk memiliki cinta seperti itu bukannya mudah. Namun,ia tidak mustahil untuk dimiliki... Yang pasti,jauh disudut hati saya, saya berjanji tidak akan sesekali membuat seorang anak Adam itu lupa kepada ALLAH semata-mata kerana saya. Tidak berbaloi.. Lelaki yang hebat,tidak akan tunduk pada cinta seorang wanita, tetapi dia akan membuat wanita itu tunduk kepada cintanya melalui didikan dan bersulamkan benih-benih cinta hanya kepada ALLAH dan Rasulullah.. Itulah lelaki yang hebat.... Semoga saya ketemuinya suatu hari nanti...

Saturday, November 14, 2009

Hawa buat Adam...


Akulah HAWA dan kau ADAM buatku
Akukan jadi hawa buatmu adam
Sebagai pelengkap fitrah yang paling indah
Tuhan menciptakanku dari rusukmu
Rusukmu yang lembut dan mudah patah
Maka kaulah pelindungku
Namun itu tidak bermakna aku lemah
Kerana rusuk inilah yang melindungi hatimu
Agar kau selalu selesa dan bahagia

Aku dicipta dari rusukmu
Hampir dengan hatimu untuk disayangi
Bukan untuk dilukai dan disakiti
Tidak aku dicipta dari tulangmu yang lain
Bukan di kepala untuk kau tunduk padaku
Bukan dari tulang kakimu untuk dihinamu

Aku tidak ingin menjadi hawa untuk membuatmu lupa
Lupa pada cinta Dia yang agung
kerana aku sendiri adalah tanda cintaNYA buatmu
mentaatimu bermakna mentaati DIA
kaulah penentu kemana akan kukembali
bersamamu ke syurga menjadi mawar suci mewangi
atau menjadi bahan api di neraka nanti

aku ingin menebus dosa hawa disyurga yang lalu
ingin kembali ke sana
menjadi haruman syurgawi
menari bersama bidadari sepenuh hati
untuk itu aku mentaati Dia yang paling kucintai
memberimu kasih tulusku.. untukmu adam
maka pimpinilah aku kearahNYA
dengan itu aku akan yakin kau juga dicipta untukku
kerana kau lah amirul firdaus buatku nanti..

Saturday, October 3, 2009

Ada Apa Dengan Cinta???


Bestnya kalau dapat couple kan? Yelah…ada orang sayang kita lebih… Nak tidur malam ada orang wish gud nite,bangun pagi ada orang tolong kejutkan… Nak gi mana-mana kena bagitahu kalau tak ,ada je nanti yang merajuk.. Itulah yang saya tahu serba sedikit mengenai dunia couple mouple ni.. Tapi itukah yang ada dengan cinta????????

Melihat akan telatah rakan-rakan yang majoritinya bercouple menyebabkan saya tersenyum sendiri. Saya termenung panjang melihat telatah salah seorang kawan yang sedang merajuk. Orang yang tersayang tidak jemu-jemu memujuk di hujung talian. Dah hampir satu jam mereka berbual ditelefon,entah apa yang dibualkan saya sendiri tidak pasti. Namun,yang saya pasti kawan saya tu sedang merajuk sebab pakwe dia tak angkat call semalam..heeeeeeeehhhhhheeeeee

Penting ke bercinta? Perlu ke bercinta? Best ke bercinta? Mana lagi best,bercinta sebelum kahwin ke? Bercinta lepas kahwin? Bermacam-macam persoalan bermain difikiran saya..

Kata orang,kita kena berkawan dulu dengan pasangan kita sebelum berkahwin.. Baru boleh kenal hati budi masing-masing.. Yeke?..Tak kottt….

Bagi saya… Cinta kepada ALLAH sangat berbeza segala-galanya. Saat cinta kepada manusia membawa kesedihan,hanya cinta kepada ALLAH membawa kedamaian. Saat cinta manusia membawa kehancuran,hanya cinta kepada ALLAH membawa kebahagiaan. Cinta kepada ALLAH adalah sebenar-benar cinta hakiki yang pasti membawa bahagia tika di dunia dan di akhirat kelak.
Kerana itulah,apabila kekuatan cinta kepada ALLAH melebihi segalanya,manusia tidak akan takut untuk berdepan dengan kegagalan cinta sesama insan. Dan kecintaan yang mendalam kepada ALLAH tidak akan membuatkan seseorang itu terburu-buru untuk melafazkan cinta kepada seseorang

Namun tidak dapat dinafikan bahawa setiap insan memiliki perasaan ingin dicintai dan ingin mencintai… Dan,pastinya mereka mahu percintaan itu kekal selamanya…

Betul lah kan? Siapa yang tak mahu bercinta dan dicintai.. Even,bila kita tanya semua orang,masing-masing memiliki perasaan ingin dicintai dan mencintai. Saya juga begitu. Kerana cinta itu adalah fitrah yang dimiliki setiap insan. Namun,harus juga di ingat..ALLAH tidak mengurniakan fitrah itu begitu sahaja. ALLAH juga mencipta peraturan dalam menjaga kesucian cinta itu. Supaya FITRAH TIDAK MENJADI FITNAH. Peraturan inilah yang sering di langgar sehingga wujudnya berbagai masalah sosial di kalangan remaja sekarang. Saya pasti,jika peraturan ini dipenuhi oleh setiap insan yang bergelar manusia,sudah tentu kesucian fitrah ini tidak akan pudar selamanya.

Namun,bagi saya,ada syarat yang saya letakkan jika seorang anak adam itu mahu menjadikan saya sebagai permaisuri di hatinya. Permintaan saya tidak banyak, andai benar ‘dia’ mencintai saya, ‘dia’ haruslah terlebih dahulu menyerahkan cintanya kepada ALLAH dan RASUL kemudian kepada ibu dan bapanya.. jika masih tersisa,berikanlah cinta itu kepada saya….

Kata-kata seorang sahabat menyebabkan saya hampir menitiskan air mata.
“ Dengarlah sahabatku… ALLAH memujukmu..(An-Nur: 26) ..”Wanita yang keji adalah untuk lelaki yang keji,dan lelaki yang keji adalah untuk wanita yang keji,wanita yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik adalah untuk wanita yang baik…..” Telah tercatat seungkap nama lelaki di Lauh Mahfuz untukmu… Cuma peribadinya ditentukan oleh sejauh mana ketinggian peribadimu.. Jika kau di atas jalan yang diredhai ALLAH,InsyaALLAH si dia turut berada di jalan yang sama. Lupakan segala kegundahan. Teguhkan pada cinta hakiki nescaya cinta lelaki soleh turut kau miliki…”

Kata-kata itu saya ulang baca beberapa kali. Dan setaip kali membacanya,saya akan tersenyum sendiri.. Benar,telah ada satu nama di Luah Mahfuz yang tertulis untuk saya. Namun,siapa dia? Belum tiba masanya untuk saya tahu siapa dia.. Biarlah ia menjadi rahsia ALLAH sebelum tiba masanya.. Kerana saya masih belum bersedia untuk ke arah itu. Buat masa sekarang cinta saya hanya untuk umi ,abah,kak ely,kak ja,abe dan adik.. My study..My patient dan semestinya untuk si DIA dan Rasulullah SAW… Kerana saya terfikir,layak kah saya mencintai manusia jika saya masih tidak dapat mencintai ALLAH sepenuhnya??…”Kasih manusia bermusim,Sayang manusia tiada abadi,Kasih tuhan tiada bertepi,Sayang tuhan janjinya pasti…”

Saturday, August 8, 2009

Lelaki Idaman Saya?



Lelaki idaman saya adalah seorang lelaki yang beriman

Yang hatinya disalut rasa takwa kepada Allah

Yang jiwanya penuh penghayatan terhadap Islam

Yang sentiasa haus dengan ilmu Yang sentiasa dahaga akan pahala

Yang solatnya adalah maruah dirinya

Yang tidak pernah takut untuk berkata benar

Yang tidak pernah gentar untuk melawan nafsu

Yang sentiasa bersama kumpulan orang-orang yang berjuang di jalan Allah

Lelaki idaman saya adalah

lelaki yang menjaga tuturkatanya

Yang tidak bermegah dengan ilmu yang dimilikinya

Yang tidak bermegah dengan harta dunia yang dicarinya

Yang sentiasa berbuat kebajikan kerana sifatnya yang penyayang

Yang mempunyai ramai kawan dan tidak mempunyai musuh yang bersifat jembalang

Lelaki idaman saya adalah lelaki yang menghormati ibunya

Yang sentiasa berbakti kepada kedua orang tua dan keluarga

Yang bakal menjaga kerukunan rumahtangga

Yang akan mendidik isteri dan anak-anak mendalami Islam

Yang mengamalkan hidup penuh kesederhanaan Kerana dunia baginya adalah rumah sementara menuju rumah akhirat

Lelaki idaman saya sentiasa bersedia untuk menjadi imam

Yang hidup di bawah naungan Al-Quran dan mencontohi sifat Rasulullah

Yang boleh diajak berbincang dan berbicara

Yang menjaga matanya dari berbelanja

Yang sujudnya penuh kesyukuran dengan rahmat Allah ke atasnya

Lelaki idaman saya tidak pernah membazirkan masa

Matanya kepenatan kerana penat membaca Suaranya lesu kerana penat mengaji dan berzikir

Tidurnya lena dengan cahaya keimanan

Bangunnya subuh penuh kecergasan Kerana sehari lagi usianya bertambah penuh kematanganLelaki idaman saya sentiasa mengingati mati

Yang baginya hidup di dunia adalah ladang akhirat

Yang mana buah kehidupan itu perlu dibaja dan dijaga

Agar berputik tunas yang bakal menjadi baka yang baik Meneruskan perjuangan Islam sebelum hari kemudian

Lelaki idaman saya adalah lelaki yang tidak terpesona dengan buaian dunia Kerana dia mengimpikan syurga Di situlah rumah idamannya Dan dia ingin membawa saya bersama

Dialah lelaki idaman saya .... Namun layakkah sy?

Tapi... yakinlah... jadi solehah,dapat soleh...

Sunday, August 2, 2009

Coretan buat 'mu'



Entah angin apa yang membuai hari ini, sehingga membuatkan aku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu untuk dirimu yang tidak pernah kukenali. Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya ku khususkan buatmu sebelum tiba masanya.Aku telah di didik umi semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata umi, tanggungjawab ibubapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi.

Sejak mejejakkan kaki di pusat pengajian tinggi sehinggalah sekarang,aku cuba sedaya upaya untuk menjaga pergaualan ku dengan lelaki bukan muhrim sebaik mungkin. Memang agak payah pada mulanya kerana perkerjaanku menutut aku berkomunikasi dengan terlalu ramai lelaki setiap hari. Tapi itu tidak pernah aku jadikan sebagai alasan untuk tidak membataskan pergaulan ku. Kerja tetap kerja dan batas pergaulan tetap di jaga. Aku yakin,aku perlu berlatih bermula dari sekarang. Apabila terpaksa berurusan dengan mereka, aku akan cuba menjaga suaraku dan tidak memandang terlalu lama. Akan ku palingkan wajahku daripada lelaki yang asyik merenungku ataupun cuba menegurku. Aku seboleh-bolehnya melarikan pandanganku daripada ajnabi kerana pesan Sayyidatina ‘Aisyah“Sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang”. Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan. Bagaimana akan ku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal? Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi? Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain,sudah tentu kau juga tidak mahu aku memandang lelaki lain,bukan? Oleh itu,untuk mendapat lelakin yang menundukkan pandangannya,aku terlebih dahulu yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntutAllah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku. Aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?Tidak ku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Dirimu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.

Diriku yang hina ini sememangnya pernah di uji. Entah mengapa hatiku ini mudah benar terpedaya dengan keindahan seorang lelaki. Dengan sedaya kudrat yang ada,aku cuba pendamkan perasaan yang semakin tumbuh di hati. Puas ku pujuk hati ini agar melupakan sahaja perasaan itu. Namun,apa kan daya,aku tetap manusia biasa yang dilahirkan dengan seribu sejuta kelemahan. Yang pasti,aku tidak mahu menjadi hawa untuk membuat seseorang adam itu lupa kepada cinta DIA yang agung. Oleh itu,setelah segala perkara di timbang dan diukur,aku tekad mengundur diri. Perasaan ini perlu dibuang jauh dari kamus hidupku. Kerana aku tidak mahu cintaku ini terlebih dahulu diberikan kepada seseorang selain dirimu. Kerana aku tahu hanya engkau yang layak memiliki cintaku setelah ALLAH dan Rasul. Aku tertanya-tanya adakah aku berada ditebing kebinasaan. Aku beristighfar memohon keampunan-Nya. Aku juga berdoa agar dia melindungi diriku daripada sebarang kejahatan. Kehadirannya membuatkan aku banyak memikirkanmu. Kurasa seolah-olah dirimu wujud bersamaku. Entah mengapa,aku terlalu yakin,lelaki itu bukan dirimu. Alhamdulillah,jiwaku kini semakin tenang. Dia sudah tidak pernah menjengah lagi di dalam hidupku. Dan aku tekad tidak mahu memikirkan tentang cinta sehinggalah dirimu hadir ke dalam hidupku sebagai seorang yang layak dicintai …Sebagai suamiku.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku kearah tuju yang satu.Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara’. Aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk kau berpaut sewaktu dirimu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan ku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku.

Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku keranaNya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku ….“Kerana kau adalah suamiku, amirul firdaus buatku nanti…”





Saturday, July 25, 2009

Meh Pakat Baca...kejap je

Mawar_berduriSUNDAY, JULY 26, 2009,9.30 AM

NIKAH KHITBAH

MAZLEE MALEK

Nikah Khitbah : Solusi Masalah Cinta Remaja!

Oleh : Ustaz Maszlee Malik


Selepas Majalah I sudi menerbitkan artikel “Cinta anta dan anti” penulis menerima banyak maklum balas. Sama ada melalui sms, panggilan telefon, emel dan juga pertanyaan-pertanyaan. Apabila majalah I bulan Mac pun turut memaparkan reaksi para pembaca mengenai artikel tersebut, persoalan ini semakin popular. Terdapat juga pertubuhan-pertubuhan di IPTA dan IPTS menjemput penulis untuk berbicara “soal cinta”. Walaupun bukanlah seorang pakar dalam hal ini, namun pengalaman yang dilalui sepanjang enam tahun menjadi pensyarah IPT turut mendorong artikel tersebut dihasilkan.


Antara soalan yang biasa diajukan kepada penulis berkaitan artikel “cinta anta dan anti” ialah: “Apakah kesudahannya?” atau “Apakah penyelesaiannya?” Artikel tersebut seolah-olah tergantung, dan ramai yang begitu ingin mendapatkan jawapannya.


“Ustaz, jangan biarkan kami terawang-awang begini, berikanlah penyelesaiannya!”, antara bunyi sms yang pernah diterima. Mudah-mudahan nukilan ini

cuba

memberikan alternatifnya.

Akibat Kurang Bercinta


Ketika ada yang bertanya punca siswa dan siswi Melayu kurang cemerlang di IPT, saya jawab dengan mudah: “Mereka kurang bercinta!”. Tentu ramai yang tidak berpuas hati dengan jawapan tersebut. Mereka lantas mengungkit teori saya bahawa ramainya pelajar Melayu gagal di IPT adalah kerana gejala “coupling”. Saya menegaskan bahawa memang “coupling”lah yang menjadi faktor utama kegagalan pelajar-pelajar IPT, tidak kira Melayu atau bukan. Coupling hanya menghabiskan masa, duit, perasaan dan juga tenaga intelektual yang mereka ada. Coupling hanya membawa kepada kegagalan, kecuali coupling yang halal, iaitu menerusi perkahwinan! Lihat sahajalah laporan akhbar kosmo mengenai kegiatan seks luar nikah dan juga aktiviti pengguguran para siswi IPT di ibu kota .


Cuma bercinta dan coupling adalah dua benda yang berbeza. Bercinta yang dimaksudkan ialah proses percintaan yang sebenar. Cinta yang suci dan bersifat positif dan jauh dari pencemaran maknanya yang hakiki. Cinta yang difahami oleh kebanyakan orang dewasa ini adalah “nafsu” dan bukannya cinta. Cinta telah ditukarkan kepada nafsu oleh idealogi materialisme dan juga liberalisme yang berjaya menjajah pemikiran manusia dewasa ini. Cinta sebenarnya bersifat suci dan positif serta jauh dari nafsu. Sayangnya apabila manusia gagal memahami erti cinta, mereka telah menjadikannya sesuatu yang taboo, negatif dan juga tidak suci lagi.


Coupling pula, walaupun dari segi literalnya bersikap neutral, tetapi telah dikotorkan oleh idealogi liberal yang menjadikannya hanya sebagai definisi kepada perhubungan intim dia insan berlaina jantina sebelum berkahwin. Mengikut tafsiran coupling yang difahami oleh ramai orang dewasa ini, ia bukanlah bercinta, tetapi lebih kepada “melayan nafsu serakah” semata-mata.
Cinta yang dimaksudkan di sini ialah cinta suci. Cinta kepada Allah dan Rasul, cinta kepada agama Islam, cinta kepada ibu bapa, cinta kepada Negara dan juga cinta kepada pasangan suami atau isteri. Cinta akan menjadi unsur motivasi dan penggerak, dengan syarat ia adalah cinta sejati!Khitbah Bukan Tunang


Salah seorang remaja dari salah sebuah IPT di Gombak pernah mengatakan, “Alah, takkan tak boleh couple ustaz, kita ni bukan hidup zaman dulu lagi. Lagipun bukan buat apa-apa, untuk suka-suka aje!”.


Penulis menjawab: “Siapa kata tak boleh coupling?
Nak bercouple, bercouplelah, tapi kena dengan cara yang halal…iaitu bernikah!”.


Jika diutarakan persoalan nikah, ramai yang akan memberikan respon yang skeptic. “Mana ada duit!”, “Nak bagi anak orang makan apa?”, “Mak bapak tak kasi!”, “Nak tinggal di mana?”, “Mana ada kerja lagi!”, “Diri sendiri pun tidak terjaga!” dan pelbagai alasan lagi. Mengapa mereka boleh mengemukakan alasan-alasan untuk melakukan perkara yang halal, tetapi tidak langsung mengemukakan untuk melakukan perkara yang haram? Jawapan saya bagi segala persoalan tersebut, mudah sahaja… “Kamu wajib berkhitbah!”.


Apakah “khitbah”? Jika diterjemahkan secara literalnya, ia membawa maksud “bertunang”. Bertunang menurut adat dan pengamalan orang Melayu adalah perjanjian di antara dua orang insan untuk berkahwin melalui proses ritual tertentu. Definisi itu jugalah yang terdapat dalam pengamalan fiqh klasik dan juga di zaman Rasulullah s.a.w. Definisi ini jugalah yang diamalkan oleh orang-orang Melayu di Malaysia. Malangnya, disebabkan kejahilan masyarakat, hubungan pertunangan yang sekadar perjanjian semata-mata ini, akhirnya dianggap sebagai upacara untuk menghalalkan perhubungan di antara dua pihak yang bertunang. Lebih dahsyat lagi, ada di antara ibu bapa yang menyangkakan bahawa bertunang bermaksud “separuh berkahwin”. Ada pasangan yang bertunang, berpelesiran, berpegangan tangan dan juga bermadu asmara akan cuba menjustifikasikan tindakan tersebut dengan ikatan pertunangan serta mendapat restu ibu bapa kedua-dua belah pihak.


Khitbah menurut pengamalan orang Arab moden, terutamanya di Jordan pula amat berbeza dengan pengamalan orang bertunang secara klasikal dan juga pengamalan orang Melayu. Ia merupakan “akad nikah” dalam erti kata yang sebenar. Akad khitbah di dalam masyarakat arab pada realitinya merupakan akad nikah. Seperkara yang membezakan di antara akad nikah dan khitbah ialah kedua-dua pasangan khitbah tidak tinggal bersama sehinggalah selesai majlis perkahwinan dijalankan. Pada dasarnya, mereka berdua adalah suami isteri dan halal untuk melakukan apa sahaja yang difikirkan untuk mereka melakukannya. Di dalam masyarakat kita, pernikahan tersebut diberikan nama “nikah gantung”. Bukankah bunyinya amat mengerikan?
Jika ditukarkan nama “nikah gantung” tersebut kepada “nikah khitbah” tentu konotasi terhadap kontrak tersebut tidaklah mengerikan. Bunyinya pun agak “islamik”. Jika ia dapat diamalkan oleh kebanyakan para siswa dan siswi kampus yang dilanda asmara dan cinta serius berkemungkinan ia boleh menyelesaikan banyak perkara yang mereka hadapi.

Khitbah di IPT


Jika pelbagai alasan yang dikemukakan demi mengatakan bahawa bernikah di alam kampus itu mustahil, maka khitbah adalah solusinya. Kedua-dua pasangan tidak perlu duduk sekali, tidak perlu mencari rumah berasingan, tidak perlu menanggung satu sama lain, tidak perlu makan lebih,tidak perlu membeli peralatan rumah dan perabot-perabot. Nikah adalah untuk menghalalkan perhubungan dan juga membina kematangan. Yang utamanya, kedua-dua pasangan sudah halal dan sudah boleh bersama dan melakukan apa sahaja.


Bunyinya agak mudah, namun realitinya tidak demikian. Sudah pasti ada ibu bapa akan tidak bersetuju. Dalam hal ini, anjakan paradigma oleh para ibu bapa amat diperlukan. Ibu bapa perlu sedar zaman anak-anak mereka kini bukanlah seperti zaman mereka dahulu. Zaman kini fitnahnya berleluasa dan kebejatan moral menggila. Lihatlah apa yang berlaku di IPT-IPT seluruh tanah air, rasanya pendedahan oleh sebuah akhbar harian baru-baru ini mengenai aktiviti pengangguran di IPT-IPT Lembah Klang sudah cukup merisaukan banyak pihak. Apakah ibu bapa mengharapkan anak-anak mereka menjadi malaikat yang tidak terpengaruh dengan suasana persekitaran, rancangan-rancangan hiburan dan bahan-bahan literasi menjurus kearah maksiat dan nafsu.


Sudah sampai waktunya para ibu bapa moden membuat anjakan paradigma. Mereka hendaklah menerima realiti jahiliah moden yang menggila ini. Mereka menghadapi dua jalan penyelesaian, sama ada menerima arus liberal dan sekular yang menghalalkan segala perhubungan bebas di antara dua jantina, dan kemudian mereka yang akan menanggung malu. Atau pilihan kedua, iaitu untuk membenarkan anak-anak mereka menikmati alam percintaan dengan cara yang halal, iaitu melalui ikatan perkahwinan. Walau bagaimanapun, membenarkan anak-anak mereka bernikah di dalam ini adalah satu risiko. Maka di sinilah peranan ibu bapa moden untuk membantu anak-anak mereka mengurangkan risiko tersebut demi menyelamatkan agama dan maruah mereka.


Kebanyakan ibu bapa menyuarakan kerisauan mereka terhadap kemungkinan anak mereka akan hamil dan ia sudah pasti mengganggu pembelajaran. Penyelesaian untuk perkara tersebut amat mudah. Pasangan itu sendiri perlu mengambil langkah berjaga-jaga dengan pelbagai cara untuk mengelakkan kehamilan sewaktu belajar. Adalah amat naïf bagi mereka yang hidup alaf baru ini tidak mengetahui cara untuk mencegah kehamilan. Jika kaedah pencegahan tersebut gagal, dan dengan izin Allah, pasangan tersebut terpaksa menghadapi fasa kehamilan, maka sokongan ibu bapa amat diperlukan.


Risiko
Seperkara yang perlu diingat, perkahwinan di kampus ini juga tidak sunyi dari risiko. Adalah terlalu silap untuk menyangkakan semuanya indah belaka tanpa sebarang cabaran. Pernikahan di kampus hanyalah salah satu penyelesaian untuk masalah perhubungan bebas di antara jantina dan juga salah satu kaedah rawatan untuk gejala maksiat di IPT. Sekurang-kurangnya, walaupun ia berisiko, namun ia masih dapat mengelakkan risiko yang lebih besar. Walau bagaimanapun, bagi mereka yang tidak terlibat dengan gejala berpacaran, serta boleh mengawal diri dan nafsu, adalah digalakkan untuk mereka hanya menumpukan perhatian kepada pembelajaran. Cadangan nikah kampus atau nikah khitbah ini hanyalah untuk mereka yang tidak mempunyai ketahanan jiwa dan keyakinan diri yang mantap untuk menghadapai cabaran semasa yang begitu menggila. Akhirnya kepada para siswa dan siswi kampus dan juga para aktivis di universiti, walau apapun tindakan yang diambil, pastikan mardhatillah menjadi matlmat utama!
24459077963181l(Majalah i Mei 2006)